Mudah-mudahan, ada satu hari yang menyatukan kami - Nazrey Johani - Utusan Malaysia

Mudah-mudahan, ada satu hari yang menyatukan kami – Nazrey Johani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di saat Raihan berada pada kemuncak kejayaannya pada 2006, vokalis utama, Nazrey Johani, membuat kejutan dengan melangkah keluar daripada kumpulan berkenaan.

Peristiwa itu menimbulkan tanda tanya. Peminat berteka teki. Nazrey meninggalkan Raihan dengan seribu satu persoalan.

Selepas keluar dari Raihan, dia agak jarang dilihat di mana-mana. Sehinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, Nazrey kembali aktif, mewarnai persada nasyid tempatan.

Dalam satu pertemuan, penulis membongkar rahsia penarikan diri Nazrey daripada kumpulan nasyid yang cukup disegani itu. Nazrey berkongsi pelbagai cerita, dalam tenang dan bersahaja.

Jelas Nazrey, dia meninggalkan Raihan kerana mahu meneruskan kerja dakwah di Sabah. Dia terpanggil selepas menerima ajakan sahabat-sahabat di sana yang memerlukan pertolongannya.

“Pada 1 Januari 2006, Allah beri keinginan kepada saya untuk pulang ke Sabah, bina madrasah dan jalankan program dakwah. Saya diminta sahabat-sahabat di sana bantu mereka. Jadi, saya pergi selama 20 hari.

“Bila ada meminta bantuan, saya lupakan kesibukan bersama Raihan. Ketika itu adalah kemuncak Raihan. Terima antara empat hingga lima undangan buat persembahan dalam seminggu. Saya pergi 20 hari. Bayangkan, secara tiba-tiba, sukarnya Raihan membuat persembahan tanpa saya.

“Saya, melihat kesusahan penduduk Sabah yang jauh ketinggalan dari sudut agama. Saya tak boleh tinggalkan,” terangnya.

Ceritanya lagi, keputusan untuk menetap di Sabah dan meneruskan kerja dakwah diambil selepas kesedarannya timbul tentang tanggungjawab itu.

“Setelah 20 hari, lepas waktu Asar, saya duduk diam dan termenung, mengenangkan esoknya perlu kembali semula ke Semenanjung.

“Pada masa itulah saya terdengar bisikan, masuk ke telinga turun ke hati. Nazrey, teruskan kerja dakwahmu. Tapi ingat, yakinlah dengan rezekiku. Ini benar-benar berlaku.

“Jadi saya sahaja yang faham. Teruskan kerja dakwah bermaksud saya perlu terus berada di Sabah dan teruskan perjuangan dakwah di sana, tinggalkan segala dikecapi bersama Raihan,” katanya lagi.

Keputusan untuk keluar Raihan bukan satu perkara mudah dilakukan Nazrey kerana ia bukan sahaja menimbulkan kemarahan beberapa pihak, malah persepsi negatif terhadapnya.

“Orang fikir, saya berhenti Raihan dan jadi kaya. Itu tidak benar. Hidup saya susah. Dalam kebimbangan dan susah hati. Memikirkan bagaimana untuk meneruskan hidup. Sedangkan kerja dakwah bukan buat duit, sebaliknya cari duit beri kepada orang.

“Saya buat perkara yang orang tak bayar. Isi minyak kereta, makan semua pakai duit sendiri. Sampai di kampung-kampung, tak tahu nak tidur di mana. Saya buat benda susah demi orang Sabah. Tapi orang tak nampak. Tak semua faham perkara itu,” jelasnya.

Kembali demi madrasah

Kata anak kelahiran Ranau, Sabah ini, kehadiran semula ke dalam dunia nasyid tempatan adalah demi satu matlamat, iaitu mengumpul dana membangunkan semula madrasah di Ranau yang musnah akibat bencana.

“Enam tahun menguruskan operasi madrasah, saya jarang menerima permintaan untuk membuat persembahan atau menghadiri sebarang program.

“Sekarang musibah melanda madrasah kami, runtuh akibat pergerakan tanah. Justeru, operasi terpaksa dihentikan.

“Sekarang, saya kerap berulang alik dari Sabah ke Kuala Lumpur. Menjemput rezeki di sini. Mencari dana untuk bina semula madrasah itu. Bila berada di sini, senang untuk terima undangan buat persembahan,” katanya.

Kisah kegigihan Nazrey dalam merealisasikan pembinaan madrasah berkenaan pernah tular satu ketika dahulu. Dia membuat persembahan di pasar malam dan pasar tani demi mengumpul dana membina madrasah tersebut.

Kata Nazrey, dia berlapang dada dan menerima musibah yang melanda sebagai ketentuan dari Allah SWT. Justeru, dia tidak menyimpan sekelumit perasaan sedih, malah bersangka baik dengan apa berlaku.

“Dah buat madrasah, kemudian ia runtuh. Saya tak rasa sedih. Tetapi, sebagai manusia, memang ada rasa terkejut. Sebab itu, saya tidak menceritakan apa yang berlaku.

“Saya banyak berfikir tentang kehendak Allah. Dalam ujian ini, saya banyak berdiam. Untuk bersangka baik, kena letak setinggi-tinggi keyakinan dalam hati bahawa Allah itu maha baik.

“Kemudian Allah takdirkan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) panggil saya buat persembahan. Saya yang sebelum itu banyak menolak jemputan, menerima demi mengumpul dana membangunkan semula madrasah itu,” katanya lagi.

Untuk dakwah, peminat

Antara soalan yang sering dibangkitkan, wujudkah peluang untuk peminat melihat kerjasama antara Nazrey Johani dan Raihan?

Perkara ini diajukan kepada Nazrey. Padanya, demi dakwah dan peminat yang membesar dengan lagu-lagu Raihan, kenapa tidak?

“Demi dakwah, peminat. Saya mahu bekerjasama dengan Raihan. Atas keperluan umat. Saya tahu, mereka yang membesar dengan lagu-lagu Raihan semestinya mahu melihat kami bersama sekali lagi.

“Dari awal lagi, saya bersama Raihan atas kerja dan perjuangan. Tidak sesekali untuk mengejar populariti dan kekayaan. Ini juga tugas dakwah. Kalau nak buat konsert besar atau album, tak ada masalah untuk saya bergabung.

“Apakan daya, lillahitaala. sejujurnya, masih susah bagi mereka untuk bekerjasama dengan saya. Kalau ditanyakan kepada mereka, jawapannya tidak ada masalah. Tapi mana kerjasama itu? Untuk kepentingan umat, untuk mengajak orang ingat dan sayang Allah, saya tidak melihat ia mustahil,” kongsinya.

Dalam pada itu, Nazrey lega apabila peminat Raihan faham dengan situasi yang berlaku kepada kumpulan tersebut. Jika ditentukan tiada ruang untuk bersama Raihan sekalipun, dia tetap gembira melihat kedua-dua pihak masih berjuang demi muzik nasyid.

“Mudah-mudahan, ada satu hari yang menyatukan kami. Dapat mengutarakan semula suara Raihan, seperti zaman kegemilangan dahulu. Saya sendiri berharap begitu. Demi agama, dakwah. Elok dibuat,” katanya.

Rahsia kejayaan

Hakikatnya, masih belum ada mana-mana penggiat seni di Malaysia yang mampu menandingi kejayaan diraih Raihan ketika era kegemilangannya dahulu. Muzik nasyid Raihan mengembara ke segenap pelosok dunia. Antara negara yang berjaya ditembusi Kanada, Australia, Rusia, Perancis, England, Hong Kong, Thailand, Indonesia, Singapura.

Kata Nazrey, dia menemui rahsia di sebalik kejayaan Raihan. Selepas 10 tahun meninggalkan kumpulan itu, dia menemui jawapan pada Ramadan lalu.

“Nak dapat apa yang Raihan dapat pada era kegemilangannya dahulu cukup susah. Rahsianya satu, buat kerana Allah. Niat memartabatkan lagu-lagu yang memuji-Nya. Mengangkat hiburan Islam yang mengagungkan nama Allah. Bukan kerana lain.

“Kami dari awal puas fikirkan. Bila jadi artis, keadaan bakal ditempuhi adalah sukar. Akan berjumpa dengan macam-macam orang. Bukan mudah kami nak bercampur dengan golongan artis. Seperti minyak dan air.

“Niat adalah kekuatan. Kami keluar dari satu tempat, pandangan dijaga daripada maksiat, percakapan terjaga daripada bercakap yang sia-sia. Kami manusia, tak sempurna. Tapi kami berbeza. Ini rahsianya, kesucian niat,” katanya.

Nazrey juga memberitahu kalimah syahadah yang menjadi kandungan dalam lirik lagu puji-pujian menjadi satu kekuatan luar biasa buat lagu tersebut.

“Rahsia kalimah Ashadualla Ilahailallah Wa Ashadu Annamuham­madarras­ulullah ada kekuatan luar biasa.

“Ketika menyanyikannya, bukankah kita sedang melafazkan syahadah, memperbaharui dan menyucikan diri? Lebih 10 tahun tinggalkan Raihan. Baru saya sedari tentang rahsia-rahsia ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya