Manfaatkan kelebihan, ganjaran besar Ramadan

Manfaatkan kelebihan, ganjaran besar Ramadan

ISMAON SUKERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BULAN Ramadan adalah anugerah yang tidak terhingga daripada Allah SWT untuk umat Islam menambah pahala dengan meningkatkan amal ibadah.

Lantaran itu, bekas guru agama di Pasir Salak, Perak, Ismaon Sukeri, 84, meminta agar umat Islam tidak melepaskan peluang keemasan yang diberikan Allah untuk melipatkan gandakan ibadah di sepanjang bulan yang mulia ini.

Menurutnya, bulan Ramadan tidak sekadar berpuasa di siang hari tetapi pelbagai ibadah lain boleh dilakukan untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.

Katanya, Ramadan adalah saat terbaik untuk menambah amal ibadah, mengumpul pahala kerana ia mendapat ganjaran yang berganda daripada Allah.

Jelasnya, walaupun ia dilakukan sedikit tetapi ganjarannya berlipat kali ganda. Bayangkan, kalau dilakukan dengan banyak ibadah tersebut.

“Selain wajib berpuasa, umat Islam dituntut melakukan solat sunat Tarawih.

“Namun banyak amalan lain yang boleh dilakukan membaca kitab suci al-Quran, bersedekah, beriktikaf di masjid untuk beribadah dan bermunajat kepada Allah selain berzikir dan berselawat dan beribadah.

“Banyak amalan lain yang dijanjikan ganjaran seperti semasa bersahur dan berbuka puasa. Amalan yang dilakukan di bulan Ramadan semakin mendekatkan kita kepada Allah,” katanya.

Tambahnya, paling istimewa sudah tentu malam Lailatul qadar, malam yang lebih mulia daripada seribu bulan yang diharapkan kita semua dapat bertemu dengan malam tersebut.

Jelasnya, ibadah yang dilakukan pada malam Lailatul Qadar pahalanya dilipatgandakan, sehingga dianjurkan untuk memperbanyak doa, solat, membaca al-Quran, dan beribadah dengan penuh keikhlasan.

“Jadi, jangan kita lepaskan peluang untuk menambah ibadah di bulan Ramadan yang Allah janjikan pelbagai keistimewaan buat mereka yang beribadah,” katanya.
Ismaon berkata, selain beribadah, berpuasa juga dapat mendidik seseorang untuk belajar sabar, sabar menahan nafsu, sabar menahan lidah ketika marah.

Katanya, sebagai contoh bersabar ketika membeli makanan untuk berbuka puasa dan mengelak pembaziran.

Katanya, mendidik sifat sabar dalam diri merupakan hikmah berpuasa pada bulan Ramadan.

“Ibadah puasa dapat mentarbiah orang yang berpuasa agar menjadi insan yang bersabar, tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan yang merugikan dan yang sia-sia,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, malam lailatul qadar mendorong umat Islam meningkatkan ibadah terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, berharap untuk bertepatan dengan malam Lailatul qadar.

“Lebih daripada itu diharapkan ibadah yang dilakukan pada Ramadan terutama seperti yang dilakukan ketika mengharapkan bertemu malam Lailatul qadar akan diteruskan sehingga habis Ramadan,” katanya.

Tambahnya, mungkin ramai yang tidak menyedari Ramadan tidak sekadar bulan beramal ibadah tetapi juga menguatkan ikatan kekeluargaan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

Katanya, amalan berpuasa yang dilakukan secara serentak di semua tempat menunjukkan kesatuan yang unik di antara umat Islam.

Jelasnya, semasa Ramadan perpaduan umat Islam dapat dieratkan menerusi kegiatan-kegiatan komuniti seperti solat Tarawih berjemaah yang mana umat Islam berkumpul di masjid setiap malam.

“Ini secara tidak langsung meningkatkan ikatan sosial dan kebersamaan dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Ismaon merupakan bekas seorang guru agama dan pernah mengajar di beberapa buah sekolah agama di sekitar Pasir Salak.

Sebelum itu, dia pernah berguru dengan ulama terkenal di Bagan Datuk sekitar tahun 1950-an, antaranya Kiai Anuar Mutakim.

Sepanjang berguru dengan ulama terkenal itu, Ismaon mendalami pelbagai cabang ilmu agama seperti al-Quran, tasawuf, fikah.

Dengan ilmu yang dipelajarinya, dia melaksanakan tanggungjawab mengajarkan ilmu agama kepada masyarakat setempat.

“Saya amat meminati ilmu agama dan mahu melihat masyarakat juga mencintai ilmu agama sebagai panduan dalam hidup mereka.

“Dalam menuntut ilmu, saya berpegang kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa berjalan untuk menuntut ilmu, Allah SWT akan membimbingnya ke jalan syurga.

“Kepada masyarakat saya menyeru berusahalah menambah ilmu agama bukan hanya untuk ibadah tetapi juga sebagai panduan hidup agar diredai Allah dan tidak menyimpang daripada ajaran-Nya yang sebenar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya