SUDAH banyak kali kita membaca dan mendengar kisah ‘haruan makan anak’. Segelintir insan bergelar ayah yang sepatutnya menjadi pelindung kepada keluarga terutama anak perempuan mengkhianati tanggungjawab berkenaan sehingga tergamak memperkosa mereka yang sebenarya mahram.
Lebih kejam, perbuatan terkutuk itu dilakukan berulang kali sejak beberapa tahun lamanya sehingga mangsa hamil.
Justeru timbul 1,001 persoalan apakah punca berlakunya sumbang mahram yang semakin menjadi-jadi?
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong berlakunya gejala sumbang mahram ini antaranya tidak mengamalkan kehidupan disyariatkan Islam termasuk dalam soal penjagaan batas-batas pergaulan serta aurat.
Justeru Ustaz Suhaimi Samad berkata, ibu bapa perlu sedar dan memainkan peranan penting seperti mengasingkan tempat tidur sebaik anak mencapai tahap mumayyiz.
Suhaimi Samad
Asal: Sungai Besar Selangor
Jawatan terkini: Pensyarah Kanan (Politeknik Port Dickson)
Pendidikan: Sarjana Pengajian Islam
“Apabila anak sudah boleh membezakan antara hal yang baik atau buruk, ibu bapa tidak lagi boleh tidur bersama mereka. Begitu juga dengan adik beradik lain.
“Ia merupakan satu didikan ibu bapa kepada anak dalam menjaga batas auratnya walaupun sesama ahli keluarga. Ini penting untuk menjaga syahwat. Apa yang menjadi masalah ada pula yang masih tidur bersama anak-anak walaupun mereka sudah bersekolah menengah,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Ustaz Suhaimi, ibu bapa juga dalam masa sama perlu mengetahui hukum batas-batas pergaulan dan aurat ketika bersama dengan anak-anak.
“Aurat sangat dititik beratkan. Kalau anak perempuan dengan bapa, bapa auratnya adalah antara pusat sampai di bawah lutut.
“Begitu juga aurat antara anak lelaki dengan ibu dan adik beradik yang haram dikahwini, sama sebagaimana anak perempuan dengan bapa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ustaz Suhaimi turut menasihatkan ibu bapa agar menutup bahagian tubuh yang boleh menaikkan syahwat walaupun bukan kategori aurat dan ketika berada di hadapan mahram sendiri.
“Adalah wajib ibu bapa menutup aurat dan berpakaian sopan. Begitu juga dengan sentuhan fizikal. Perlu ada batas-batasnya.
“Kalau sekadar bersalam dan mencium pipi boleh tetapi jangan sampai menimbulkan syahwat. Islam tidak benarkan walaupun bersama mahram,” jelasnya.
Sementara itu Ustaz Suhaimi berkata, pendidikan awal sebagaimana yang telah dianjurkan dalam Islam tidak boleh pandang ringan dan perlu dipraktikkan.
“Kesimpulannya, ibu bapa perlu mengambil berat dalam perkara ini agar sentiasa tidak sewenang-wenangnya mendedahkan aurat sesama mahram apatah lagi kepada bukan mahram.
“Islam mewajibkan agar menjaga aurat sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak,” ujarnya. – UTUSAN