Ibadah sia-sia tanpa tauhid

Ibadah sia-sia tanpa tauhid

beriman kepada tauhid tiada had waktu malah perlu berpanjangan pada hati orang yang beriman kerana ia tidak sama dengan ibadah lain yang difardukan. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAUHID secara umumnya menggambarkan penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah, menjadi asas serta tunjang akidah tauhid bagi umat Islam.

Bertitik tolak daripada situ, semua perkara tidak boleh dipisahkan daripada tauhid kerana ia adalah asas bagi seorang Muslim dan sebesar-besar kewajipan semua hamba kepada Allah SWT.

Berkongsi bicara bersama Mingguan Malaysia, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Wan Rosli Wan Ibrahim berkata, tanpa tauhid semua amal ibadat dan kebajikan tidak diterima sama sekali oleh Allah SWT.

Menurutnya, syahadah adalah perkara pertama dalam rukun Islam dan ia menjadi suatu perkara yang membezakan antara iman dan sebaliknya.

WAN ROSLI WAN IBRAHIM
(Babo Li)
Usia : 50 tahun
Asal: Kampung Gong Kemuning, Pasir Puteh, Kelantan.
Sejarah Pendidikan:
 Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.
 Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.
 Menyambung pengajian agama di Syam (Syiria)
Tugas hakiki:
 Mudir Madrasah al-Diniah Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.

————————————————————————————————————-

“Lafaz syahadah merupakan asas pegangan akidah umat Islam. Penegasan terhadap konsep tauhid ini hendaklah diterapkan di dalam semua urusan kehidupan sebagai seorang Muslim, sama ada perihal berkaitan individu, keluarga, bermasyarakat atau bernegara.

“Kewajipan utama manusia adalah mentauhidkan Allah yakni meyakini dan beriman kepada keesaan-Nya iaitu Allah tunggal pada zatnya dan segala sifat serta perbuatan-Nya,” katanya ketika ditemui di Pondok Ad-Diniah Al-Falahiah Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Wan Rosli, fakta dan penegasan berkait tauhid kepada Allah SWT termaktub dalam al-Quran.

Katanya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kami tidak mencipta jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (51:56)

Tegasnya, ia diperkukuhkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua.” (4:36).

Justeru, katanya dalam konsep tauhid, beberapa tema utama yang semestinya menjadi rukun termasuklah tentang kewujudan Pencipta dan makhluk, kewujudan pengiktirafan kepada Yang Esa, kewujudan penolakan terhadap sekutu, kewujudan konsep keimanan, kebenaran, kebaikan dan amanah.

Menurutnya, beriman kepada tauhid ini tiada had waktu malah perlu berpanjangan pada hati orang yang beriman kerana ia tidak sama dengan ibadah lain yang difardukan.
“Tauhid kepada Allah SWT bermula di alam roh iaitu sebelum dilahir­kan, diazan dan iqamah selepas dilahirkan malah dalam keadaan nazak ber­depan sakratul maut pun syahadah kepada Allah perlu dilakukan,” katanya.

Menurutnya, umat manusia diperintahkan mentaati suruhan-Nya dan meninggalkan larangannya sebagaimana Firman Allah dalam surah Muhammad ayat ke-19: “Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepada-Nya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

Katanya, soalan tauhid yang pertama dalam alam barzakh (kubur ) yang akan ditanya oleh malaikat munkar dan nakir adalah – “Siapa Tuhan Kamu?” menunjukkan peri pentingnya umat Islam berpegang kepada kepercayaan hanya Allah SWT yang wajib disembah (ditaati).

Menurut Wan Rosli, umat Islam wajib menuntut ilmu agama dan mendekati alim ulama agar kehidupan duniawi berada pada landasan yang benar dan mendapat keredaan Allah SWT.

Tegasnya, tahap ketauhidan itu mencapai makrifat apabila ada usaha meningkatkan ketakwaan dengan pendekatan memahami ilmu agama daripada alim ulama.

Katanya, Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: “Jadilah engkau orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mahu mendengarkan ilmu, atau orang yang menyukai ilmu.

Dan janganlah engkau menjadi orang yang kelima maka kamu akan celaka. (binas­­a).” (HR. Baihaqi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya