NEGARA kita yang bertuah ini akan menyambut sambutan kemerdekaan ke-67 pada 31 Ogos ini yang menandakan kita telah lama bebas daripada penjajahan secara fizikal.
Namun, kebanyakan kita masih terbelenggu dengan sifat-sifat buruk lagi-lagi dipacu oleh sistem moden yang mencabar mutakhir ini.
Pengasas Kompleks Tarbiah Riyadhus Solehin (Pondok Muallim), Kampung Sempa, Slim River, Tanjung Malim, Mohd. Tarmizi Ab. Rahman, 59, berkata, sememangnya negara kita telah lama merdeka namun menurutnya pengertian sebenar kebebasan adalah ‘bebas’ daripada mengabdikan diri kepada manusia atau makhluk tetapi Allah SWT semata-mata.
“Merdeka yang sebenar adalah dengan pengisian tiga perkara utama iaitu akidah, syariah dan tasawuf (akhlak) yang mantap. Jika ketiga-tiga perkara ini kita bina dengan kukuh walau apa sahaja cabaran yang mendatang akan dapat dihadapi dengan teguh.
“Seseorang tidak sesekali mengambil rasuah, menipu dan menyeleweng jika mereka memikirkan soal halal atau haram, syurga atau neraka, dosa mahupun pahala.
“Apa sahaja perbuatan yang mereka lakukan akan berlandaskan tiga perkara penting ini dan kesannya majoriti rakyat termasuk bukan Islam akan mendapat manfaatnya,” katanya.
Pemilik Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Falsafah) Universiti Al-Azhar, Mesir ini menambah, akidah itu sebenarnya yang mengikat diri kita dengan Islam.
“Ia ibarat akar pokok yang kukuh walaupun dengan angin kuat atau ribut, pokok tidak akan sesekali tumbang. Kepercayaan dan keyakinan ini yang terbahagi kepada empat bahagian iaitu ketuhanan, kerasulan, kerohanian dan percaya pada hari kiamat, qada dan qadar,” katanya.
MOHD. TARMIZI AB. RAHMAN
Umur: 59 tahun
Asal: Batu Kurau, Taiping, Perak
Status: Berkahwin dengan mempunyai tujuh orang anak
Jawatan: Pendakwah bebas dan pengasas Kompleks Tarbiah Riyadhus Solehin (Pondok Muallim), Kampung Sempa, Slim River, Tanjung Malim, Perak
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Akidah dan Falsafah) Universiti Al-Azhar, Mesir
Menurutnya lagi, masyarakat walaupun seburuk mana pun dapat dipulihkan dengan akidah yang benar dengan syarat utama mengikut panduan dan pedoman yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
“Situasi semasa zaman Jahiliyah dahulu lebih buruk berbanding sekarang tetapi melalui madrasah akidah yang dipelopori oleh Rasulullah SAW, masyarakat Mekah dan Madinah mampu bangkit sehingga menguasai dua pertiga dunia pada zaman kegemilangannya.
“Asasnya kita meninggalkan segala perkara keji dan mungkar dengan sesungguhnya dan bina diri dengan kefahaman Islam sebenar. Tiada isu sebenarnya kerana pada zaman kini pelbagai maklumat boleh diperoleh hanya melalui hujung jari selain ramai ustaz dan guru bertauliah boleh membimbing kita dengan sebaiknya,” katanya.
Tambah beliau, unsur kedua penting adalah penerapan syariat ibarat sebatang pokok yang telah mempunyai akar yang kuat ditambah lagi dengan batang yang kuat.
“Syariat ini mengatur kita menjalani kehidupan iaitu menyangkut ibadah, muamalah, munakahat dan pembahagian faraid dan harta pusaka selain penerapan hukum. Islam ini serba lengkap kerana ia mengatur hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia yang hidup di muka bumi ini,” katanya.
Ujarnya, penerapan akidah, syariat dan tawasuf yang mantap membolehkan seseorang menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.
“Ketiga-tiga elemen ini boleh dipraktikkan secara meluas di negara ini tanpa sekatan jadi tidak timbul persoalan peredaran zaman, kemajuan teknologi atau keterbatasan masa. Setiap manusia diberikan 24 jam sehari dan ia bergantung kepada kesungguhan kita untuk mencorak diri dan generasi akan datang,” katanya. –UTUSAN