HARI Raya Aidiladha atau hari raya haji dan korban yang disambut umat Islam di seluruh dunia esok adalah bagi memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.
Bagaimanapun, Allah SWT menggantikannya dengan seekor biri-biri untuk dikorbankan. Secara tersirat, hari raya korban bertujuan ‘mengorbankan’ sesuatu hal disukai yang boleh wujud dalam apa jua bentuk sebagai khidmat kepada masyarakat.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, banyak perkara sunat boleh dilakukan semasa Hari Raya Aidiladha iaitu ‘menghidupkan’ malam hari raya dengan solat berjemaah, solat sunat, membaca al-Quran, bertasbih, beristighfar dan bertakbir.
Beliau memetik hadis daif diriwayatkan Ibnu Majah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, sesiapa yang menghidupkan kedua-dua malam Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha), pasti tidak akan mati hatinya pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).
“Walaupun hadis ini lemah, namun ia termasuk dalam kelebihan beramal dan dibenarkan oleh jumhur (kebanyakan) ulama,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Bungsu @ Aziz Jaafar
Jawatan: Mufti Negeri Sabah (sejak 2012 hingga kini).
Pendidikan:
Beroleh Syahadah Thanawiyyah dari Maahad Johor Johor Bahru (1983)
Sarjana Muda Usuluddin, Universiti Malaya (1987)
Ijazah Sarjana Pengajian Islam, Birmingham University, United Kingdom (1997)
Sijil Pengurusan Fatwa dari Darul Ifta’ Mesir (2015)
Selain itu, beliau memetik hadis sahih riwayat al-Hakim, daripada Ali dan Ammar r.anhuma menceritakan, Baginda (Nabi Muhammad SAW) sentiasa bertakbir pada Hari Arafah, selepas solat al-Ghadah (Subuh) dan berhenti selepas solat Asar hari terakhir bagi hari-hari Tasyriq.
“Hari Raya Aidiladha merupakan salah satu tanda kebesaran Allah, maka kita digalakkan untuk perbanyakkan takbir,” katanya.
Bungsu memetik hadis sahih diriwayatkan oleh Muwatta’ Malik berdasarkan amalan para sahabat, daripada Nafi’ bahawa Abdullah Umar r.a. mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum pergi ke tempat solat dan memakai pakaian terbaik pada dua hari raya.
“Kita juga disunatkan memakai pakaian yang terbaik kerana Imam Syafie menjelaskan dalam kitab al-Umm bahawa:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” katanya memetik kitab itu.
Bungsu juga merujuk hadis sahih riwayat Bukhari, daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a., berkata: “Ketika Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah SAW keluar menuju tempat solat (lapangan) dan pertama kali yang beliau kerjakan adalah solat hingga selesai.”
HIKMAH
Katanya, banyak hikmah boleh didapati daripada sambutan Aidiladha antaranya pelaksanaan ibadah korban ujian daripada Allah SWT untuk menilai sejauh mana seseorang sanggup berkorban dengan nyawa dan harta bagi melaksanakan perintah-Nya.
“Inilah permulaan pensyariatan korban dilakukan pada Hari Raya Aidiladha sempena kejayaan Nabi Ibrahim melaksanakan ujian dan perintah Allah S.W.T,” katanya.
Beliau berkata, hari tersebut sebagai tanda syukur kepada Allah SWT yang mana di samping manusia diperintahkan melaksana pelbagai jenis ibadat, Allah SWT memberi kerehatan, waktu bergembira dan disyariatkan ibadah yang manfaatnya kembali kepada manusia itu sendiri seperti ibadah korban.
“Maka, sewajarnya umat Islam bersyukur di atas nikmat agama Islam dan ibadat yang selari dengan fitrah manusia ini. Pelaksanaan perintah Allah SWT (sambutan Aidiladha dan ibadah korban) adalah bukti seseorang benar-benar beriman dan bertakwa kepada-Nya,” katanya.
Katanya, ibadah haji, solat berjemaah dan melakukan ibadah korban yang kesemuanya menuntut umat Islam bertemu dan bekerjasama sesama mereka dalam melakukan ibadah adalah cara yang paling berkesan bagi menyatukan umat Islam.
“Apabila kita melihat umat Islam berpecah dan berbalah atas pelbagai isu, maka, sambutan Aidiladha sangat dituntut untuk dilakukan bagi memperbaiki hubungan sesama mereka di atas dasar akidah dan persaudaraan.
“Hanya dengan kesatuan di atas dasar agama yang mampu mengembalikan semula kekuatan umat sepertimana yang berjaya dilakukan oleh generasi terbaik umat Islam pada zaman dahulu,” katanya. – UTUSAN