Kekal solat di masjid pada bulan Syawal - Utusan Malaysia

Kekal solat di masjid pada bulan Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK ‘ibrah’ atau pengajaran yang boleh difahami untuk dipraktikkan dalam kehidupan daripada pelaksanaan ibadah sepanjang Ramadan dan amalan sunat pada bulan Syawal.

Sambutan Aidilfitri bukan penamat dalam mendirikan ibadah dan melaksanakan kebaikan.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mudir Pusat Tahfiz al-Quran Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Ustaz Omar Mustaqim Abdullah berkata, ibadah dalam mengukuhkan akhlak, keimanan dan ketakwaan pada Ramadan adalah jambatan istiqomah untuk terus patuh terhadap perintah-Nya.

Menurutnya, ibadat dalam Islam tidak hanya berkaitan ketaatan seorang hamba kepada Allah SWT malah ia adalah wadah tarbiah untuk menginsafi inti pati kehidupan demi kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

“Jadikan kehadiran Syawal ini sebagai kegembiraan bermakna selepas sebulan kita melatih diri memenuhi tuntutan agama.

“Kekalkan kehadiran ke masjid untuk berjemaah. Masjid perlu diimarahkan bukan hanya pada Ramadan. Ukhuwah perlu diman­tapkan dengan pelbagai aktiviti dan program,” katanya ketika ditemui di Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Tambahnya, disiplin yang diamalkan sepanjang Ramadan dalam mengukuhkan akhlak, keimanan dan ketakwaan adalah jambatan istiqomah untuk umat Islam terus pasrah ke penghujung usia terhadap perintah Allah SWT.

Pada masa sama, katanya, kehadiran Syawal juga perlu diisi dengan amalan sunnah ketika menzahirkan kegembiraan kerana berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan.

“Hakikatnya, kegembiraan menyambut hari lebaran adalah satu nikmat yang cukup besar. Islam menekankan umatnya supaya menikmatinya namun tidak alpa sehingga melampauii batas yang disyariatkan.

“Hiburan yang mengasyikkan bukan pendekatan mulia merayakan hari lebaran sedangkan Allah mengingatkan umat Islam supaya membesarkan-Nya,” katanya.

Omar Mustaqim berkata, syukur nikmat paling utama dalam menitip keinsafan diri menjalani kehidupan yang berpandukan ajaran Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Penegasan firman Allah itu, kata Omar Mustaqim menuntut manusia sedar garis kehidupan tanpa melampaui batas.

Katanya, sambutan raya lebih manis diiringi dengan zikirullah, tasbih dan tahmid berbanding galak dengan nyanyian dan tarian yang kononnya simbol kegembiraan menyambut Hari Raya.

Sesungguhnya, setiap ketetapan dalam agama ada batasannya. Sekiranya, manusia sentiasa berada pada batasan yang benar pasti akan mendapat ganjaran pahala.

Sebaliknya, jika manusia memilih untuk keluar daripada batasan ketetapan agama, pasti ia akan mendapat dosa walaupun dalam suasana menyambut Hari Raya.

USTAZ OMAR MUSTAQIM ABDULLAH
Usia:28 tahun
Pendidikan:
Ijazah Sarjana muda Al Quran dan Al Qiraat Shoubra, Mesir
Tugas hakiki: Mudir Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Kelantan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN