Bagi Mohd Effendi Ahmad belajar agama merupakan pembelajaran sepanjang hayat dan tiada istilah terlambat untuk mempelajarinya.
Itu pegangan Mohd. Effendi 73, yang merupakan seorang guru agama di Kampung Tersusun Baru Alor Bakong Langkap di Pasir Salak, Perak yang juga seorang bekas imam masjid.
Walaupun sudah berusia, dia masih gigih mencurahkan ilmu agama kepada pelbagai peringkat usia, termasuk golongan tua, malah dia menghormati golongan itu yang masih mahu belajar agama.
Ilmu asas agama terutama fardu ain, membaca al-Quran, sifat 20 antara pengajian yang menjadi bidangnya sejak usia muda.
“Saya rasa kagum kalau melihat orang yang sudah berusia tetapi masih mahu belajar agama.
“Ini menepati konsep menuntut ilmu agama amalan sepanjang hayat, belajar agama amalan yang mulia.
“Mempelajari ilmu agama satu kebaikan, mencari ilmu adalah suatu ibadah dan tiada istilah terlambat untuk kita sebagai orang Islam belajar agama,” katanya.
Mohd. Effendi memberitahu, sepanjang mengajar ilmu agama, dia didatangi golongan yang sudah berusia yang mengakui tidak mempunyai ilmu agama yang mendalam.
Dia menghormati individu sedemikian walaupun agak sukar untuk mengajar mereka disebabkan faktor usia.
“Ya, memang ada yang sudah tua tapi masih tak tahu ilmu agama. Kalau ikutkan agak susah untuk mengajar mereka. Tapi saya tetap cuba, biasanya mengajar mereka secara peribadi demi menjaga maruah mereka.
“Saya menghormati keinginan mereka untuk belajar agama walaupun sudah berusia,” katanya.
Mengenai latar belakangnya, semasa muda iaitu sekitar 1960-an, Mohd. Effendi pernah menuntut ilmu agama dengan beberapa tokoh agama terkenal di Perak antaranya Tuan Guru Hamdan Idris, yang merupakan seorang guru yang tegas dan disegani.
Dia belajar bahasa Arab dan bagi Mohd. Effendi, mempelajari bahasa Arab antara ilmu yang sukar untuk dipelajari.
“Saya mengambil masa agak lama untuk mempelajari dan menguasai kemahiran berbahasa Arab. Lima tahun saya mempelajari bahasa Arab di sekolah pondok di Sekinchan, Selangor. Alhamdulillah akhirnya boleh memahaminya.
“Mempelajari bahasa Arab penting apatah lagi banyak kitab ilmu yang dipelajari atau yang hendak dijadikan rujukan, ditulis dalam bahasa Arab.
“Saya amat menggalakkan jika generasi hari ini mempelajari bahasa Arab,” katanya.
Mohd. Effendi turut berpesan kepada generasi muda hari ini agar tidak memisahkan diri daripada mempelajari ilmu agama secara mendalam.
Menurutnya, memang banyak cabaran, dugaan dan halangan yang akan dilalui dalam belajar agama dan dalam hal itu, beliau juga pernah melaluinya.
“Dahulu untuk menuntut ilmu agama tidak seperti hari ini. Dahulu kalau hendak belajar agama kena merantau dalam tempoh yang lama di satu-satu pusat pengajian agama.
“Disiplin guru-guru agama dahulu pun begitu keras, dahulu guna rotan. Namun dengan cara itulah murid-murid dahulu menjadi pandai,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Effendi menegaskan adalah penting untuk umat Islam belajar Sifat 20, iaitu 20 sifat yang wajib bagi Allah dan 20 sifat yang mustahil bagi Allah, walaupun hari ini ada setengahnya mempertikaikan manhaj pengajian sifat 20.
“Sejak dahulu dalam pengajian agama ditekankan pentingnya kita mempelajari sifat 20 ini supaya kita dapat mengetahui sifat wajib Allah.
“Mempelajari dan memahami sifat-sifat wajib tersebut merupakan salah satu ilmu tauhid yang menjadi tiang utama dalam dalam ajaran Islam,” katanya. –UTUSAN