SUDAH banyak golongan ‘cerdik pandai’ termasuk dalam kalangan ulama ketika zaman ledakan media sosial dengan pelbagai pandangan dibahaskan secara terbuka.
Hak kebebasan bersuara yang sepatutnya masih dilingkari dengan batas agama, undang-undang dan sensitiviti diketepikan demi merebut gelaran paling pandai.
Namun begitu apa yang membimbangkan, pandangan yang dilontarkan segelintir pihak di media sosial bersifat menghina peribadi individu terutama golongan ulama atau mufti.
Menurut Ustaz Mohd. Rodhi Abu Bakar, walaupun pandangan seseorang ulama atau mufti itu bersifat peribadi dan boleh boleh dibahas, dikritik atau disoal balas, ia tidak sepatutnya melampaui batas.
Malah katanya, perkara tersebut seharusnya dihentikan dan dilarang terutama apabila memperkatakan tentang hukum-hakam dan fatwa.
“Dalam konteks teguran dan pandangan peribadi seorang ulama, soal sama ada hendak bersetuju atau tidak soal lain. Akan tetapi jangan sampai menjatuhkan ulama terbabit.
“Kita perlu meletakkan rasa hormat kepada golongan ulama walaupun mereka bukanlah suci dan tidak semua pandangan peribadi mereka itu betul,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Mohd. Rodhi, adalah tidak wajar menjadikan pandangan peribadi ulama bahan kecaman di media sosial.
“Kita perlu ada adab dan tatacara, bukan mengecam di media sosial sehingga hilang penghormatan kepada ulama.
“Apatah lagi sekiranya fatwa, ia perlu digazetkan dan diterima. Kalau ada pandangan peribadi biarlah dibahas secara ilmiah, topik difahami dan bukan sembarangan orang yang boleh mengkritik,” jelasnya.
Kata Mohd. Rodhi lagi, para ulama menjaga amanah ilmu yang diwariskan dari zaman Nabi SAW.
“Malahan para ulama tidak boleh berdiam diri dalam perkara mungkar walaupun ia dibenci ramai orang. Ini kerana perkara hak dan batil selamanya tidak akan bersatu.
“Tidak perlu gelar ulama dengan gelaran-gelaran yang tidak sepatutnya sebab mereka memang ada kelayakan dan berilmu walaupun mempunyai pandangan berbeza,” jelasnya.
Justeru Mohd. Rodhi, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan segelintir pihak yang memperlekehkan ulama atau tokoh agama.
BIODATA : Mohd. Rodzi Abu Bakar
Umur: 42 tahun
Asal: Kedah
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Syariah, Damsyik, Syria
Pekerjaan: Ketua Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah Azzuha Group Travel & Tours Sdn. Bhd. –UTUSAN
-UTUSAN