ANAK adalah harta paling berharga yang dianugerahkan Allah SWT kepada ibu bapa. Ini kerana setiap manusia dilahirkan dengan fitrah yang bersih dan suci yang menuntut ibu bapa mereka memikul amanah mendidik dan mencorak kehidupan anak-anak dengan hala tuju cemerlang duniawi dan ukhrawi.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada pemberian seorang ayah untuk anaknya yang lebih utama (penting) daripada pendidikan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi dan al-Hakim dari sahabat Amr bin Sa’id bin Ash R.A)
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mudir Pondok Darul Abidin, Serdang, Melor, Ustaz Zainal Abidin berkata, amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa mencakupi pembentukan akhlak dan ilmu iaitu memantapkan akidah dan keimanan bermula zaman awal kanak-kanak dan remaja hinggalah seseorang itu baligh dan capai tahap kematangan.
Menurutnya, model keluarga bahagia sebenarnya bermula dari rumah dengan kehidupan harmoni, mengamal amalan mulia dan penampilan idola terbaik yang ditunjukkan kedua ibu bapa.
Paling utama, katanya, memberi kefahaman kepada anak-anak tentang ajaran dan tuntutan agama.
“ Ini termasuk mendidik dan mengajar mereka tentang ilmu fardu Ain, memupuk kesempurnaan akidah, kesempurnaan amal ibadat yang dituntut seperti cara berwuduk, solat, tegahan dan larangan serta lain-lain amalan sunnah yang dianjurkan.
“Wajib mendidik dan disiplinkan anak-anak untuk taat solat lima waktu dan tidak ponteng solat Subuh.
“Solat berjemaah, mendekati majlis ilmu dan hadir solat Jumaat agar amalan ini kekal berterusan dalam ruang lingkup usia remaja mereka yang penuh dengan pancaroba serta pelbagai pengaruh yang kian berkecamuk di media sosial,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Zainal Abidin, terdapat ibu bapa yang mendakwa sukar mendidik anak dengan ilmu agama kerana mereka sendiri tidak berilmu dalam bidang berkait.
Perkara itu, katanya, bukan alasan kerana pendekatan lain termasuk mencari guru atau ustaz mengajar fardu Ain atau menghantar anak belajar al-Quran hingga khatam boleh dilakukan.
“Islam menuntut umatnya belajar ilmu sepanjang hayat. Apa yang dipelajari ibu bapa dipanjangkan kepada anak-anak dan yang terbaik membawa anak-anak menghayati dan mempelajari ilmu yang disampaikan menerusi kuliah dan ceramah di masjid,” katanya
Menurutnya, mendidik anak adalah sebahagian saham akhirat buat ibu bapa kerana hubungan mereka tidak akan terputus dan beruntunglah mereka yang berjaya merealisasikan ‘anak soleh’ hasil didikan yang sempurna.
Menurutnya, sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya. (Riwayat Imam Muslim).
“Inilah kemanisan yang akan dinikmati ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak.
“Berjaya dalam hal-hal keduniaan sebagai jambatan kesejahteraan akhirat yang kekal abadi dengan kata lain pendidikan yang seimbang adalah dituntut,” katanya.
Zainal Abidin menegur, keruntuhan moral dalam kalangan umat Melayu Islam mutakhir ini sebagaimana yang tersebar luas di media sosial termasuk penagihan dadah, hiburan melampau, pornogarfi, budaya kuning dan sebagainya adalah berpunca daripada ceteknya pemahaman Islam.
“Maka ibu bapa yang jauh dengan agama seharusnya ditarbiah dan kembali kepada agama sebagai pedoman hidup yang lengkap,” terangnya.
Katanya, jangan terlalu memikirkan kejayaan akademik semata-mata sehingga mengabaikan kepentingan agama kerana manusia akhirnya perlu kembali merujuk dan mentaati ajaran Allah dan Rasul.
Anak saham akhirat ibu bapa
- Oleh TOREK SULONG
- 31 Disember 2023, 7:57 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am