Jangan kerana tindakan buruk seorang, institusi agama dicemuh - Utusan Malaysia

Jangan kerana tindakan buruk seorang, institusi agama dicemuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI beranggapan institusi pendidikan berteraskan agama seperti madrasah, pusat tahfiz dan sekolah pondok adalah medium terbaik dalam melahirkan pelajar yang memiliki sahsiah dan keperibadian yang tinggi.
Bagaimanapun, kes-kes juvana termasuk yang menyebabkan kematian membabitkan pelajar institusi berkenaan semakin banyak dilaporkan dalam media massa sejak kebelakangan ini.
Disebabkan itu, wujud persepsi negatif dalam kalangan masyarakat berhubung keberkesanan aliran pendidikan yang diajar di institusi-institusi pendidikan agama.
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Datuk Abdul Ghani Samsudin berkata, isu-isu negatif boleh berlaku di mana-mana institusi pendidikan dan menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengatasi masalah tersebut.
Katanya, institusi pendidikan waima sekolah tahfiz perlu menjalankan pengawasan yang ketat untuk memastikan keselamatan dan kelakuan pelajar mereka.
“Institusi ini juga harus membantu pelajar memahami impak tindakan mereka terhadap masyarakat dan kesan buruk jika terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
“Sangat penting untuk membekalkan pelajar dengan kemahiran sosial untuk berinteraksi secara positif dalam masyarakat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Abdul Ghani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan segelintir ibu bapa yang menghantar anak-anak bermasalah ke institusi pendidikan agama turut menjadi antara punca sikap negatif ‘meresap’ ke dalam diri pelajar lain.
“Pelajar yang bermasalah boleh mengganggu persekitaran pembelajaran dan mempengaruhi prestasi pelajar lain. Mereka juga boleh menimbulkan kebimbangan dan ketakutan kepada orang sekitarnya,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani mengingatkan, tindakan buruk seorang tidak semestinya mencerminkan keseluruhan institusi agama dan orang ramai tidak sepatutnya menghukum secara pukul rata.
Katanya, pelbagai langkah perlu diambil untuk menangani masalah secara individu selain memastikan institusi pendidikan agama menjaga standard yang tinggi dalam pendidikan dalam membentuk sahsiah pelajar.
“Bukan tidak dibenarkan menghantar anak bermasalah ke institusi pendidikan agama, tetapi biarlah yang tidak mendatangkan risiko kepada pelajar lain. Bagi yang mengalami masalah lebih serius, sebaiknya dihantar ke sekolah pemulihan atau pusat koreksional. Kita tidak mahu anak-anak ini akan menjadi lebih liar sekiranya tiada mana-mana institusi mahu menerima mereka,” ujarnya.
Beliau menambah, pendidikan Islam harus dapat menghapuskan 10 bencana dosa dan kejahatan seperti yang diterangkan oleh Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi, antaranya terhalang daripada mendapat ilmu dan rezeki, jauh dari rahmat Allah, berasa terpinggir daripada hubungan sesama manusia dan segala urusan menjadi sukar dan sulit.

Datuk Abdul Ghani Samsudin
» Umur: 77 tahun
» Asal: Masjid Tanah, Melaka
» Pendidikan: Universiti Al-Azhar, Mesir (Sarjana (Syariah) Perbandingan Mazhab dan Undang-undang)
» Pekerjaan: Bekas pensyarah Fakulti Pendidikan UM

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya