‘Ustaz segera’ perlu dikawal elak persepsi negatif

‘Ustaz segera’ perlu dikawal elak persepsi negatif

Ustaz Mohd. Ibrahim Mohd. Jaafar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, kemunculan ‘ustaz segera’ menerusi program-program realiti berkonsepkan dakwah serta di media-media sosial sebagai pempengaruh kian membimbangkan kerana menggunakan gelaran ustaz tanpa ilmu agama yang tinggi.

Kewujudan ‘ustaz segera’ tersebut bukan sahaja membawa pengaruh besar kepada pengikut mereka, malah ia juga dilihat sebagai peluang buat masyarakat bagi mendalami ilmu-ilmu agama melalui pelbagai konsep.

Namun begitu, pelbagai kes kontroversi melibatkan ‘ustaz segera’ ini sedikit sebanyak menimbulkan kejutan malah turut memberi persepsi dan tanggapan buruk masyarakat khususnya buat agama Islam.

Sebilangan masyarakat beranggapan ‘ustaz segera’ yang lahir menerusi program realiti berkonsepkan dakwah ini hanya ingin mengejar nama dan populariti dalam dunia glamor.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, guru hafazan Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Mohd. Ibrahim Mohd. Jaafar, 35, berkata, kewujudan ustaz segera pada masa kini dibimbangi akan menyebabkan berlakunya penyebaran pemahaman yang kurang tepat khususnya berkaitan agama Islam.

“Tambahan pula kemungkinan besar tokoh-tokoh agama lain tidak lagi mendapat perhatian bagi membahaskan masalah-masalah fekah atau kontemporari,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Ibrahim berkata, pelbagai kontroversi melanda ustaz segera pada masa kini dibimbangi akan membuatkan masyarakat mula merasa mual dengan ahli-ahli agamawan yang sememangnya serius dalam mengembangkan dakwah Islam.

Selain itu, Mohd. Ibrahim berkata, permasalahan tersebut juga menyebabkan adab dan tatasusila masyarakat terhadap agamawan semakin terhakis.

“Apabila berlakunya kontroversi-kontroversi mem­babitkan ustaz segera ini, ia hanya akan mencetuskan masalah sehinggakan ada di antara masyarakat tanpa segan silu turut membodohkan agamawan dan memaki hamun secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ibrahim berkata, Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 43: “Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”.

Menurutnya, menerusi ayat tersebut secara jelas menerangkan tentang betapa pentingnya konsep ‘keahlian’ yang dapat dilihat daripada beberapa sudut.

“Biasanya ‘ahli’ dapat dilihat dalam cara bermuamalah, bercakap, gaya hidup dan berpakaian memandangkan mereka mempunyai imej tersendiri.

“Ustaz segera ini bukannya tergolong dalam kategori ‘ahli’ walaupun mungkin ada sesetengah perkataannya itu bertepatan dengan syarak,” katanya.

Tambahnya, dalam hal ini, penguatkuasa jabatan agama dan kerajaan perlu memantau serta mengawal perkembangan dalam kalangan kumpulan ustaz segera di negara ini.

“Langkah ini juga boleh membantu mengelakkan situasi yang dapat mengancam perpaduan sosial.

“Antara langkah paling efektif dilaksanakan ketika ini adalah dengan mengeluarkan tauliah pada mereka yang berkelayakan menerusi jabatan agama,” katanya.

Mohd. Ibrahim Mohd. Jaafar
» Umur: 35 tahun
» Asal: Alor setar Kedah
» Pendidikan:
Madrasah Anwarul Hidayah Jitra kedah (hafaz 30juz)
Pengajian 4 senawi Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, Terengganu
Pengajian Tallaqi Penulisan Khat Quran, Kaherah, Mesir 
» Pekerjaan: Guru Tahfiz Sepenuh Masa dan Pengajar Khat Kaligrafi
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya