MAHU melihat sistem pendidikan agama pengajian pondok atau madrasah terus bertahan adalah harapan seorang guru agama di Maahad Tarbiah Darul Quran di Chenderong Balai, Pasir Salak, Perak.
Zabidi Abdul Hamid, 70, menzahirkan harapan itu setelah melihat kurangnya sambutan masyarakat terhadap institusi pengajian agama pondok atau madrasah terutama yang diusahakan pihak swasta.
Apatah lagi sebelum ini, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) yang menzahirkan rasa bimbang terhadap maahad tahfiz swasta di negeri ini yang mengalami kekurangan pelajar yang serius berikutan keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya selepas pandemik Covid-19.
Timbalan Pengerusi Pematap, Abd. Halim Abd. Majid berkata, ramai yang masih terkesan akibat Covid-19 disebabkan kehilangan pekerjaan, perniagaan yang merosot menyebabkan sumber pendapatan terjejas seterusnya mencari inisiatif untuk mengurangkan belanja bulanan masing-masing.
Kesannya, sebahagian maahad tahfiz swasta di negeri ini sekarang dalam keadaan kekurangan pelajar.
Begitupun, Zabidin, yang merupakan anak kelahiran Parit 7D, Sungai Manik dekat Pasir Salak yakin masih ada ibu bapa yang memilih pengajian pondok untuk anak-anak mereka.
“Harapan saya mudah-mudahan pengajian pondok dapat dipertahankan, sebab pengajian kitab-kitab lama terlalu kurang sekarang ini, jadi kalau ada yang mahu mengaji (belajar), mudah-mudahan ia dapat dipertahankan pengajian kitab-kitab lama atau orang kata ‘kitab kuning’ ini.
“Tahfiz ini ada keistimewaannya kerana ada syarikat korporat yang bantu, kadang kala mereka hantar beras dan keperluan makan minum. Alhamdulillah,” katanya.
Mengenai Maahad Tarbiah Darul Quran, Zabidi berkata, pusat pengajian itu dibuka pada 1995 dan dia bertugas sebagai guru agama di situ.
Menurutnya, ketika ini madrasah itu mempunyai 20 pelajar bahagian tahfiz, lapan pelajar pengajian pondok dan empat tenaga pengajar dengan pengajian mulai pukul 9 sampai 11 pagi, seterusnya pada malam lepas solat Isyak.
Katanya, yuran bulanan untuk makan dan utiliti hanya RM230 sebulan.
“Madrasah ini juga dibuka kepada umum untuk pengajian agama pada setiap malam Sabtu untuk semua lapisan umur, bermula selepas solat Maghrib. Ini memberi peluang mereka yang mahu belajar kitab-kitab lama dan biasanya mereka datang dari Bidor dan Tapah,” terangnya.
Sementara itu, katanya, dia juga mengajar di masjid-masjid sekitar Chenderong Balai, Sungai Manik dan madrasah-madrasah di kampung enam kali sebulan.
“Saya juga mengajar untuk orang dewasa atau warga emas membaca al-Quran dan belajar fardu Ain, juga belajar solat. Untuk pengajian sedemikian memang ada warga emas mengikutinya tetapi tidaklah ramai sebab ini kampung, penduduk tak ramai.
“Bagi golongan dewasa, ramai yang rasa malu untuk belajar agama pada usia lanjut, hanya yang berhajat sungguh sahaja datang, iaitu dalam lingkungan usia 60 hingga 70 tahun.
“Mereka ini kalau belajar seminggu sekali pun sudah memadai, contohnya, belajar membaca al-Quran, biasanya yang mana sabar, akan ada perubahan, daripada tak pandai, lama kelamaan sudah boleh membaca, daripada yang kurang elok bacaannya, diperelokkan,” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Pengajian madrasah harus bertahan
- Oleh AIN SAFRE BIDIN
- 16 Julai 2023, 3:53 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am