Jangan biarkan hari Tasyrik berlalu sia-sia - Utusan Malaysia

Jangan biarkan hari Tasyrik berlalu sia-sia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Tasyrik dalam kalendar Islam adalah pada tanggal 11, 12, dan 13 Zulhijjah selepas solat Aidiladha. Maka hari ini adalah hari ketiga Tasyrik.
Pada tiga hari ini, umat Islam dilarang untuk melaksanakan ibadah puasa dan dituntut melakukan amal makruf khususnya berzikir mengagungkan kebesaran Allah SWT.
Daripada Nubaisyah al-Hudzali RA, Rasulullah SAW bersabda: “Hari Tasyrik adalah hari makan, minum, dan banyak mengingatkan Allah.” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, Nasa’i)
Berkongsi pandangan berkait hari Tasyrik, Imam Muda Masjid Taman Darussalam, Ustaz Am’mar Imran berkata, hari Tasyrik pada Aidiladha adalah hari terbaik di sisi Allah SWT yang umumnya mengetahui dilarang berpuasa sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, mengikut kitab Lathaiful Ma’arif, Ibnu Rajab mengatakan: “Kita dilarang berpuasa pada hari Tasyrik kerana hari Tasyrik adalah hari raya kaum Muslimin, di samping hari raya korban. Justeru, tidak boleh berpuasa di Mina mahupun di daerah lainnya.”
“Ia membawa maksud hari Tasyrik disyariatkan Allah SWT sebagai hari makan dan minum, tekun berzikir mengagungkan Allah SWT dan taat terhadap perintah-Nya.
“Satu hadis daripada Uqbah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda bahawa hari Arafah, korban dan hari Tasyrik adalah kesemuanya hari raya bagi umat Islam dan ia merupakan hari makan dan minum,” katanya ketika ditemui di Masjid Darussalam Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
Am’mar berkata, iini menunjukkan ketinggian kasih Allah SWT terhadap umat manusia yang seharusnya mensyukuri nikmat rezeki yang dianugerahkan-Nya kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih Lagi Mengasihani.
Menurutnya, hari Tasyrik merupakan salah satu kesempatan bagi umat Islam untuk meraih limpahan dan keberkatan dan mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT bermula dengan amal makruf tanpa mempersia-siakan hari-hari yang paling baik ini berlalu begitu saja.
Justeru, katanya, sebagai orang yang beriman, umat Islam seharusnya memanfaatkannya sebaik mungkin kemuliaan hari ini dengan memperbanyakkan amalan soleh dan tidak sesekali melakukan kemungkaran.
“Beberapa amalan utama yang disyariatkan untuk dilakukan pada hari Tasyrik termasuk memperbanyakkan zikir sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 203 yang bermaksud – Ingatlah Allah di hari-hari yang terbilang. Ia adalah peluang keemasan untuk mendapatkan ganjaran pahala setimpal dengan usaha kita,”katanya.
Tambah Am’mar, umat Islam juga perlu rasa bersyukur atas nikmat rezeki yang dilimpahkan-Nya sehingga berkemampuan melaksanakan ibadat korban dan bersyukur juga bagi yang tidak berkemampuan menikmati agihan daging korban atau nikmat kehidupan yang lain.
“ Jika kita sentiasa melahirkan rasa bersyukur, Allah SWT akan meningkatkan lagi rezeki kita,” katanya.
Sehubungan itu katanya, usaha meningkatkan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT amat perlu dan dituntut pada hari-hari yang terbaik ini kerana ‘yaumul tasyrik’ adalah rangkaian ‘yaumul udhiyah’ yang di dalamnya terkandung dugaan, pengorbanan, ujian, perjuangan para nabi terutama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebagaimana yang tersurat dalam al-Quran.
Katanya, pada hari Tasyrik ini juga perbanyakkanlah doa dan sentiasa memohon pengampunan kerana hari ini merupakan Sa’atul Ijabah yakni waktu terkabulnya doa.
“Sepanjang tempoh hari Tasyrik hendaklah jauhkan sengketa dan perpecahan hubungan sesama Islam dan ahli keluarga. Jauhi sikap benci membenci dan akrabkan hubungan sesama Islam.
“Biarlah hari terbaik ini menjadi titik mula untuk berbaik sangka dan merapatkan kerenggangan hubungan sebelumnya. Keakraban silaturahim semasa Muslim amatlah dituntut,” katanya.

USTAZ AM’MAR IMRAN
» Usia: 31 tahun
» Asal: Pasir Puteh, Kelantan
» Sejarah pendidikan:
Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Pulau Chondong
Universiti al-Byt, Jordan
» Tugas hakiki:
Imam Muda Masjid Darussalam Pasir Puteh
Guru Yayasan Islam Kelantan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya