Ingin tabur bakti di bumi sendiri - Utusan Malaysia

Ingin tabur bakti di bumi sendiri

Omar Mohammed Din
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH lebih 45 tahun menetap di Mekah selepas dilahirkan di Tanah Suci tersebut, anak bongsu daripada keluarga guru agama yang berasal dari Besut, Terengganu ini pulang ke negara ini beberapa bulan sebelum berlakunya pandemik Covid-19 di negara ini.
Kepulangan Prof. Madya Dr. Omar Mohammed Din, 49, ke negara ini adalah sebagai seorang Pensyarah Pengajian Fakulti Bahasa Arab di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) di Desa Petaling, Kuala Lumpur. Beliau pulang dengan niat untuk menabur bakti di bumi sendiri. Omar, sebelum ini bertugas di Universiti Islam Madinah di Arab Saudi.
“Saya anak bongsu daripada 14 adik beradik yang mana ayah saya, Mohammed Din Mohamad Yusof yang berkelana di Mekah untuk menuntut ilmu meninggal dunia pada usia 75 tahun semasa saya berusia 10 bulan.
“Sebagai keluarga guru saya didedahkan dengan ilmu agama sejak kecil. Persekitaran di tempat tinggal saya dipenuhi dengan aktiviti pengajian agama yang membentuk diri saya sebagai pecinta ilmu,” katanya.
Omar berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Bahasa Arab dan Kesusasteraan dari Universiti Islam Madinah (Saudi) dan Sarjana dalam bidang dan universiti sama.
Menurutnya, status kewarganegaraannya adalah sebagai warganegara Malaysia dan perlu memperbaharui visa bila tiba masanya sejak lebih empat dekad.
Ceritanya, komitmen ayahnya yang sanggup merantau ke Mekah dengan menaiki kapal laut untuk menuntut ilmu membakar semangatnya untuk pulang ke Malaysia bagi mendidik anak bangsa dalam ilmu bahasa Arab dan pelbagai bidang pengajian Islam.
“Ayah saya seorang guru agama yang cintakan ilmu dan saya berada di negara ini untuk mencurah ilmu yang saya tuntut di Arab Saudi daripada pelbagai Sheikh atau guru agama.
“Selain mengajar bahasa Arab yang merupakan bahasa pertuturan utama saya, subjek lain yang saya boleh sampaikan adalah ilmu Tajwid, Qira’at, Hadis Nabawi, Syarah Hadis, Kitab Fiqh, Kitab Tafsir dan Akidah,”katanya.
Omar yang mempunyai isteri berasal dari Arab Saudi dan tujuh anak berkata, beliau mengalami kejutan budaya terutama dalam aspek budaya menuntut ilmu agama yang berbeza di negara ini berbanding di Madinah.
Jika di Madinah jelasnya, pengajian ilmu agama boleh dikatakan diadakan di serata ceruk bandar tetapi di negara ini terutama Lembah Klang, tempat belajar agama wujud di kawasan tertentu sahaja dan dek kerana kekangan bahasa beliau sukar untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat sekitar.
“Apa yang penting saya boleh berkongsi ilmu bahasa Arab dengan rakyat negara ini sebagai pensyarah.Walaupun bapa saya berasal dari Terengganu dan ibu dari Thailand, saya lebih selesa berbahasa Arab.
“Bayangkan saya lahir, membesar, menuntut ilmu, bekerja dan membina keluarga di Arab Saudi sudah pasti saya sukar menguasai bahasa Melayu tetapi memahami apa yang disampaikan dalam bahasa tersebut,”katanya.
Jelasnya lagi, di negara ini ramai yang pelik kerana dia bercakap dalam bahasa Arab walaupun berasal dari Terengganu yang terkenal dengan loghat unik.
“Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Budaya bangsa Arab dan Melayu memang berbeza tetapi ilmu agama relevan untuk semua umat Nabi Muhammad SAW.
“Makanan saya juga masih masakan Arab yang mana roti Arab yang panjang itu adalah makanan ruji keluarga saya,” ceritanya.
Mengulas mengenai cabaran mengajar bahasa Arab kepada rakyat Malaysia, Omar berkata, tidak semua pelajar tempatan yang mampu menguasai bahasa itu.
“Sepatutnya orang Melayu yang pandai membaca al-Quran boleh berbahasa Arab cuma jika tidak dipelajari apa saja ilmu sukar dikuasai. Saya sendiri mengulang belajar Ilmu Hadis dan Tajwid beberapa kali tanpa jemu.
“Dalam bahasa Melayu terdapat 2,000 perkataan yang diambil daripada bahasa Arab, maknanya ilmu bahasa itu akan lebih mudah dikuasai jika ia dilakukan secara menyeluruh,” terangnya.
Tambahnya, MEDIU turut menawarkan kursus bahasa itu sejak lebih 10 tahun lalu dan peluang tersebut perlu diambil oleh umat Islam untuk belajar daripada pensyarah yang berpengalaman di sana. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya