KORBAN dalam bahasa Arab disebut al-udhhiyah, iaitu binatang yang disembelih pada waktu dhuha manakala dari segi hukum syarak ia merujuk kepada binatang ternakan (al- An’am) seperti kambing, lembu, kerbau atau unta yang disembelih pada Hari Raya Aidiladha atau pada hari Tasyrik iaitu pada 11,12 dan 13 Zulhijjah dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Hukum ibadah korban menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama adalah sunat muakkad. Ibadah ini amalan yang sangat dituntut dalam Islam sekali gus melambangkan syiar agama yang jelas dan tuntutan sunnah bagi yang berkemampuan melaksanakannya.
“Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu, dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) qurbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1&2)
Berkongsi bicara dengan Mingguan Malaysia berkait ibadah korban, pendakwah bebas, Ustaz Nazeri Mustapha berkata, ibadah ini menuntut kemampuan dan keikhlasan yang pastinya akan mendapat ganjaran pahala, selain fadhilat merapatkan ukhuwah di antara pemberi daging korban dengan penerimanya khususnya fakir miskin.
Menurutnya, kefahaman tentang jenis-jenis haiwan yang boleh dijadikan korban perlu diketahui iaitu haiwan ternakan berkaki empat dan boleh dimakan dagingnya.
“Antara syarat sah ibadah korban adalah melibatkan haiwan ternakan sahaja seperti unta, lembu, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau betina.
“Haiwan itu mesti sihat dan bebas penyakit, tidak mempunyai kecacatan sama ada tempang, buta, patah sebelah tanduk, cedera, kurus sehingga tidak ada lemak, atau kecacatan yang tidak menyerlahkan kesempurnaannya sebagai seekor haiwan sihat,” katanya.
Tambahnya, unta mesti berumur genap lima tahun atau lebih, lembu, kerbau dan kambing berumur genap dua tahun atau lebih, manakala biri-biri berumur genap satu tahun atau lebih atau telah bersalin gigi hadapannya.
Menurutnya, kuda dagingnya halal dimakan tapi tidak boleh dijadikan haiwan korban kerana ia adalah haiwan untuk ditunggang, termasuk seladang dan rusa yang kini diternak tetapi asal usulnya adalah haiwan liar.
“Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat. Berusaha melaksanakan ibadah korban agar ia menjadi penghapus dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin serta kegembiraan kepada jiran tetangga. Banyak kelebihan di sebalik ibadah korban selain mengingati sirah dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS,” katanya.
Katanya lagi, secara tidak langsung ibadah korban juga menjadikan ukhuwah umat Islam kian akrab kerana ia mendekatkan silaturahim ahli keluarga, jiran-jiran, rakan taulan yang sepakat bukan hanya menampung kos harga haiwan tetapi terserlah gotong-royong melapah dan membahagikan daging kepada orang yang tidak meminta dan orang yang memintanya.
Nazeri berkata, ibadah korban yang dilaksanakan di rumah seharusnya diperkasakan dengan pelaksanaan di masjid-masjid yang turut dipantau oleh mereka yang lebih arif selain menjayakan imarah masjid dan menzahirkan semangat mencintai rumah Allah.
Generasi baharu, katanya, akan menyaksikan dan mempelajari kaedah dan tata cara menyempurnakan ibadat korban yang sekaligus akan meneroka dan mendalami ilmu berkaitan sama ada mendekati majlis ilmu dan ceramah di masjid-masjid.
Katanya, alat sembelihan mestilah tajam supaya dapat mengalirkan darah dengan pantas memutuskan urat sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Makanlah haiwan yang disembelih dengan pisau yang dapat mengalirkan darah dengan deras dan disebutkan nama Allah ke atasnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Perlu diingatkan, katanya, alat penyembelihan yang menggunakan gigi atau kuku menjadikan penyembelihan itu tidak halal walaupun tajam kerana dua benda ini dikecualikan kerana termasuk dalam pengertian segala jenis tulang sama ada tulang manusia atau haiwan.
“Hadirlah ke masjid kerana sepanjang bulan ini banyak ceramah dan tazkirah yang disampaikan berkaitan sirah pengorbanan Nabi Ibrahim dan tertib melaksanakan ibadah korban menjelang Aidiladha nanti,” katanya.
Penyempurnaan dan tertib dalam ibadah korban
- Oleh TOREK SULONG
- 4 Jun 2023, 5:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Bahasa kebangsaan tanpa syarat
3 November 2024, 10:34 am
1MDB moga yang terakhir…
3 November 2024, 9:03 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am