Menjamah makanan perlu ikut sunnah - Utusan Malaysia

Menjamah makanan perlu ikut sunnah

Ustaz Mohd. Fahmi Che Elias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP perilaku dan perbuatan yang diniatkan kerana Allah SWT termasuk mengikut dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW akan mendapat ganjaran pahala.
Ia termasuk tertib meng­hadap dan menjamah makanan mengikut amalan junjungan besar yang tersi­rat kemuliaannya dalam menjalani kehidupan seharian.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia mengenai tertib makan, Mudir Madrasah Misbahul Ulum Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan, Ustaz Mohd. Fahmi Che Elias berkata, tidak menjadi satu kesalahan kepada umat Islam untuk makan dengan menggunakan sudu, garpu, chopstik atau berasaskan budaya setempat, namun adab makan dan minum mengikut sunnah Rasulullah SAW adalah perkara utama yang seharusnya dipraktikkan.
Menurutnya, terdapat tertib dan cara yang telah diajar Baginda Nabi bagi mendapat keberkatan rezeki setiap sesuap makanan yang dikunyah.
“Makan bukan sekadar mengenyangkan perut malah mendapat ganjaran pahala dengan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
“Generasi baharu perlu didedahkan mengenai tertib makan agar mere­ka mengetahui dan meng­amalkannya, malah tidak meng­anggap amalan itu seba­gai ‘kolot’ dalam arus mo­denisasi zaman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, Islam mengajar umat manusia supaya tidak gelojoh menikmati makanan termasuk makan ketika lapar dan berhenti apabila kenyang yang menyerlahkan keperluan pentingnya dalam aspek menjaga kesihatan badan.
Ini penting supaya kita tidak mengikut hawa nafsu dan keinginan selain mengelak berlakunya amalan pembaziran yang patut dielakkan.
Daripada Ibnu Abbas RA, katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Keberkatan turun di tengah makanan maka kamu makanlah terlebih dahulu dari kedua tepinya dan janganlah kamu makan dari tengahnya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi)
Mohd. Fahmi berkata, Rasulullah SAW bukan hanya memberi panduan bagaimana untuk hidup selamat di dunia dan akhirat malah juga cara terbaik untuk menjalani kehidupan seharian dengan gaya yang betul dan sihat.
Katanya, Sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian amat baik diamalkan dan dalam bab makan pun ada adab dan tertib yang perlu diikuti.
Beliau memberitahu, makan secara berjemaah di atas hamparan dengan dengan menggunakan Shahfah/Qash’ah (talam/dulang) adalah salah satu sunnah Nabi.
“Makan bersama terutama dengan keluarga atau komuniti tertentu dapat mengeratkan ukhuwah.
“Adab semasa makan dan minum ini bukan sekadar bagus untuk akhlak berkesan untuk penjagaan kesihatan dan keberkatan,” katanya.
Beliau menambah, antara tertib yang diajar Rasulullah SAW adalah cara duduk ketika makan iaitu duduk seperti duduk tahiyat awal tetapi lutut kanan dinaikkan yang memberi keselesaan perut dan menjaga keseimbangan ruang dalam perut.
Katanya, berhenti makan sebelum kenyang kerana makan berlebihan adalah amalan buruk yang membebankan organ dan sistem pencernaan.
Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga untuk nafasnya. (Riwayat at-Tarmizi)
Lain-lain tertib makan, katanya, tidak dalam keadaan bersandar, menggunakan tangan kanan dengan tiga jari, membasuh tangan dan berkumur serta mengakhiri dengan lafaz Alhamdulillah sebagai tanda bersyukur.

USTAZ MOHD. 
FAHMI CHE ELIAS
» Umur: 37 tahun
» Asal: Kuala Lumpur
» Pendidikan :
 Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang, Kuala Lumpur.
 Sekolah Rendah Islam  Sri Annur, Kota Bharu, Kelantan.
 Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling, Selangor.
» Pengalaman kerja:
 Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, Ulu Langat 2008-2015
 Pengasas dan mudir Maahad tahfiz Annur, Gombak
 Mujammah Darul Hadis Malaysia cawangan Kelantan
» Tugas hakiki sekarang: Mudir Madrasah Misbahul Ulum Dalam Rhu, Pasir Puteh, Kelantan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya