CELIK saja mata ketika bangun pagi, tangan sudah pun menggenggam telefon bimbit. Itu antara perkara biasa dilakukan kebanyakan orang pada zaman perkembangan pesat teknologi maklumat ini.
Boleh dikatakan segalanya di hujung jari. Ada yang baik dan ada sebaliknya. Bergantung kepada individu yang melayari limpahan kandungan di laman web dan media sosial sedia ada.
Tidak terkecuali bagi mereka yang turut menghasilkan dan menyumbangkan pelbagai kandungan termasuk berunsurkan keagamaan dan dakwah sehingga menjadi pempengaruh atau lebih dikenali sebagai influencer.
Namun persoalannya sejauh mana video atau kandungan tersebut dihasilkan mengikut keikhlasan hati dan berlandaskan syariat serta tidak terpesong?
Menurut Ustaz Mohamad Zaid Mohamad Amran, individu yang menghasilkan pelbagai kandungan di media sosial perlu lebih berhati-hati agar tidak tersesat dalam menyampaikan ilmu.
Malah katanya, individu berkenaan perlu berniat ikhlas dan tidak mempunyai niat lain seperti meraih populariti atau demi kepuasan serta kemegahan.
“Kita perlu lihat keikhlasan masing-masing. Kalau nak kemegahan untuk kepuasan dan meraih tanda suka, maka ia jatuh haram dan dikira membuat ibadat tanpa ada keikhlasan bukan kerana Allah SWT.
“ Akan tetapi, kalau syarat untuk menyebarkan video dakwah memerlukan pengikut dan tanda suka pada jumlah tertentu, maka tiada masalah dan pencipta kandungan memperoleh pahala,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ustaz Mohamad Zaid yang berasal dari Taiping, Perak merupakan pendakwah bebas, penceramah dan imam di Masjid Jamek Kampung Nakhoda, Selangor.
Beliau sebelum ini merupakan pelajar tahfiz selama empat tahun di Maahad Tahfiz Darul Furqan sebelum menyambung pengajian di Pondok Pesantren Alfatah Temboro, Jawa Timur, Indonesia.
Selain itu, beliau kini turut membuka pusat rawatan bekam Alfatah di Kampung Nakhoda dan bercita-cita mahu memperkenalkan lebih luas kaedah rawatan Islam kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Mohamad Zaid berkata, masyarakat juga tidak boleh mudah mempercayai sebarang ‘hadis’ atau kenyataan tertentu terutama mempunyai sifat yang mengelirukan.
“Sebagai contoh ada sesetengah video di laman Tik Tok yang mendakwa kalau mahu rezeki bertambah perlu mendengar surah atau zikir tertentu sehingga habis. Tiada hadis seperti itu.
“Sebaliknya Allah SWT berfirman sesiapa yang bertakwa kepada-Nya, nescaya Dia akan memberikan jalan keluar dan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka. Jadi sama ada kongsikan video atau mendengar sehingga habis, ia tidak menentukan rezeki kita. Semuanya datang daripada Allah SWT,” katanya.
Sementara itu mengulas berkenaan istilah tertentu yang digunakan segelintir individu hanya untuk menzahirkan aura positif beliau berkata, ia bukanlah merupakan satu dosa.
“Ada yang guna istilah ‘gurauan’ berbanding ujian untuk melahirkan perasaan positif. Itu cara bagaimana kita mahu bersangka baik dengan Allah SWT.
“Perlu diingat semakin makin banyak ujian maka semakin sayang Allah SWT kepada kita. Sebagai hamba kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap segala ujian yang dihadapi” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Pempengaruh jangan tersesat dalam sampaikan ilmu
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 28 Mei 2023, 3:48 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
1MDB moga yang terakhir…
3 November 2024, 9:03 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am
Kenapa sampai perlu ditembak?
27 Oktober 2024, 10:03 am