Jangan sebarkan aib suami isteri di media sosial - Utusan Malaysia

Jangan sebarkan aib suami isteri di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALA kisah rumah tangga kini dengan mudah dilondehkan di media sosial. Kepelbagaian platform yang ada dilihat sebagai sebahagian jalan penyelesaian bagi suami isteri bermasalah.
Malah, tanda suka dan jumlah komen menjadi tanda aras tahap ‘keprihatinan’ masyarakat terhadap satu-satu isu rumah tangga yang didedahkan di media sosial.
Paling dibimbangi ada yang cuba menjadi penasihat dan nasihat tersebut kemudiannya diterima bulat-bulat kerana mengikut emosi.
Pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Mohammad Rozie Mohd. Rejab, 46, menegaskan segala kisah hal berkaitan suami isteri tidak boleh dipaparkan di media sosial dan perlu diselesaikan mengikut saluran yang betul.
“Ini bukan pandangan peribadi saya, tapi ini daripada hadis dan ijma’ ulama serta fatwa.
“Kalau ada yang suka menceritakan kisah hubungan suami isteri di media sosial, itu tidak wajar kerana ia akan menimbulkan komen dan nasihat yang tidak sepatutnya. Nasihat itu pula mungkin ada yang boleh menimbulkan kemudaratan.
“Namun, itu bukan bermakna agama menyekat seseorang untuk bersuara atau meluahkan perasaan. Ia mesti melalui jalan yang betul, menerusi pihak yang sepatutnya. Contoh, mahkamah, kaunselor atau mungkin pakar berkaitan seperti pakar sakit jiwa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau yang berasal dari Kedah ini turut melahirkan kebimbangan dengan kemunculan pelbagai platform di media sosial yang boleh memberi kesan kepada komunikasi dua hala termasuk membabitkan hubungan kekeluargaan.
“Komunikasi sekarang banyak di alam maya. Apabila berhubung di media sosial, intonasi dan maksud berlainan sehingga ada orang yang salah tafsir nanti. Kesannya, amat besar.
“Kemudian paling dibimbangi komen dia mempengaruhi pula orang lain atau memberi kesan kerosakan kepada orang lain,” jelasnya.
Beliau dalam masa sama, turut menasihati masyarakat Islam agar tidak mudah menerima berita yang disampaikan dan mahu ia diselidiki terlebih dahulu terutama dalam zaman penuh mencabar ini.
Menurutnya panduan bersandarkan kepada surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
Dalam pada itu, Mohammad Rozie yang mempunyai latar belakang dalam pendidikan al-Quran dan tadabbur turut bercita-cita untuk membuka akademik al-Quran yang memberi fokus kepada pengajian lebih mendalam dalam bidang tersebut pada satu masa nanti.
“Akademik ini akan membongkar semua rahsia yang ada dalam al-Quran. Sebagai contoh surah Al-Hadid yang menceritakan tentang besi. Surah ini memecahkan rahsia asal usul dan perkara berkaitan besi.
“Dalam surah ini turut diceritakan apakah manfaatnya dan bagaimana besi itu terkait dengan akidah di mana tidak jadi sendiri dan diciptakan Allah SWT. Kemudian dalam surah itu terkait pula dengan syariah.Sebagai contoh, kalau tiada besi tiada salur paip untuk berwudhu. Begitu juga dalam bab akhlak besi tidak boleh dijadikan alat untuk menyakiti orang,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya