Jangan persiakan malam seribu bulan - Utusan Malaysia

Jangan persiakan malam seribu bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHEBATAN fadhilat dan kepentingan malam kemuliaan, Laitatulqadar sentiasa menjadi buruan umat Islam untuk menjejaki tanggal sebenar setiap kali Ramadan.
Ia adalah satu-satunya malam kemuliaan untuk mendapatkan ganjaran berlipat kali ganda, malam untuk memohon keampunan Allah SWT, malam untuk bertaubat, pemacak hari untuk mengubah akhlak, tingkat amal dan iman, buang riak dan kikis sombong.
Berkongsi pandangan berkaitan, Mudir Pondok Hidayatul Mubtadiin Telaga Papan, Ustaz Mohd. Haniff Abdul Kadir berkata, Lailatulqadar adalah anugerah Allah SWT kepada umat kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW apabila ganjaran bagi hamba yang bertemu dan beramal pada sepanjang malam itu pahalanya jauh lebih besar daripada seribu bulan.
Lailatulqadar, katanya, hadiah berharga kurniaan Allah yang tidak dikurniakan kepada umat terdahulu sebelum diperutuskan Nabi Muhammad sebagai akhir zaman.
“Apapun, malam ‘lailah al-azim min qadar’ ini tidak dimaklumkan detik dan tanggal sebenar. Ia tersirat fadhilat di sebaliknya. Sebagaimana, detik kematian yang tidak diumumkan kepada umat manusia.
“Kerahsiaan itu menuntut manusia supaya terus bersedia, berdepan dan menghadapinya. Istiqomah dengan amal makruf dan melaksanakan kebajikan secara berterusan serta menghentikan kemungkaran yang dibenci Allah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Pondok Hidayatul Mubtadiin Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
Mohd. Haniff berkata, kerahsiaan itulah yang membangkitkan kemanisan untuk melakukan amal ibadat manusia untuk secara berterusan selain mengharapkan tidak terlepas daripada ganjaran pahala yang berlipat ganda.
Menurutnya, berpandukan beberapa hadis, Rasulullah SAW memberikan gambaran kepada umat Islam bahawa Lailatulqadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan.
“Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencari Lailatulqadar pada malam 10 terakhir (daripada Ramadan).”
Hikmah di sebalik Allah merahsiakan waktu tepat bagi malam kemuliaan itu, dilihat untuk memberikan motivasi dalam memburu kurniaan paling berharga pada malam al-Qadar.
“Sebagai hamba Allah yang pasrah menyedari hakikat diri sebagai pendosa, sering melakukan kekhilafan, riak dan egoistik tanpa sedar di atas muka bumi ini, pastinya kita akan berusaha mengejar janji Allah pada Lailatulqadar yang mulia ini untuk menebus segala-galanya,” katanya.
Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan maka diampunkan dosanya yang lalu.” (Hadis Imam Bukhari)
Tambah Mohd. Haniff, kerugian besar kepada umat Islam jika memandang enteng terhadap tawaran Allah sepanjang Ramadan dan lebih utama pada malam Lailatulqadar untuk beramal, berzuhud dan menyucikan hati.
Katanya, kemuliaan malam Lailatulqadar boleh dijadikan sebagai detik baharu dalam merubah perlakuan.
Yang jahat jadi baik, kemungkaran berubah kepada amal makruf dan carilah pengampunan selagi pintu pengampunan masih terbuka.
Tambahnya, Saiyiditina Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan Baginda mengenai amalan terbaik jjika bertemu malam al-Qadar.
Rasulullah menyarankan Aisyah memohon keampunan pada malam itu kerana Allah menyukai keampunan dan suka mengampunkan hamba-Nya. Sesungguhnya, Allah lebih suka memberi keampunan berbanding mengazab hamba-Nya atas segala kemaksiatan dan kekhilafan. – Mingguan Malaysia

USTAZ MOHD.
HANIFF ABDDUL KADIR
» Usia: 32 tahun
» Asal: Gunung, Bachok, Kelantan
» Sejarah Pendidikan:
Maahad Muhammadi Kota Bharu (Sijil Tinggi Agama Malaysia)
Pondok Pengajian Islam Seligi – (dua tahun)
Taring Hadratmaut, Yaman (4 tahun)
» Tugas hakiki:
Mudir Pondok Hidayatul Mubtadiin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya