Istiqamah teruskan amalan Ramadan - Utusan Malaysia

Istiqamah teruskan amalan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AIDILFITRI disambut selepas sebulan umat Islam menjalani latihan dalam madrasah Ramadan setiap tahun.
Bulan yang penuh dengan pendidikan, membiasakan diri dengan amalan baik, mengembalikan sifat fitrah insani yang sebenar sesuai dengan matlamat manusia menjalani kehidupan yang ditentukan Allah SWT.
Berkongsi pandangan berkaitan pendidikan amal makruf melalui Ramadan, Imam Masjid al-Abrar Pauh Sembilan, Ustaz Mohd. Yuzzaky Mohd. Yusoff berkata, kedatangan hari besar Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah.
Menurutnya, kebanyakan manusia sudah biasa menghadiri kursus atau bengkel selama sehari, dua hari, seminggu dan ada yang lebih panjang daripada itu untuk mendapatkan kesempurnaan, nilai tambah dan kelebihan berganda.
“Begitu juga pengisian sepanjang Ramadan yang menjadi wadah meningkatkan keimanan dan ketakwaan hakiki.
“Bukan sekadar memantapkan hubungan dengan yang Maha Esa, malah mencakupi tuntutan insaniah sesama manusia dalam konteks amal makruf.
“Ibadah puasa menjadi pemangkin dengan disiplin diri, dihiasi dengan amal kebajikan lain, mengejar malam Lailatul Qadar dan sebagainya menjadi cerminan untuk diteruskan pada Syawal dan sepanjang kehidupan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Masjid al-Abrar Pauh Sembilan, Bachok, Kelantan baru-baru ini.
Mohd. Yuzzaky berkata, nikmat berpuasa masih boleh diteruskan sepanjang bulan Syawal dengan puasa sunat enam hari atau lebih dikenali sebagai puasa enam yang turut tersirat banyak fadhilatnya.
Menurutnya, mazhab Syafie menghukumkan puasa enam sebagai sunat di sepanjang Syawal, sama ada ditunaikan secara berturut ataupun berpisah.
Dalam permasalahan ini, katanya, Imam Nawawi R.A menyimpulkan di dalam syarahnya bagi Hadis Shahih Muslim yang bermaksud; “Ulama mazhab Syafie menyatakan yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidilfitri.
“Jika tidak berturut-turut, (misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya hingga ke hujung bulan, maka itu turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa sunat yang mengiringi puasa wajib – Ramadan) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di bulan Syawal.”
Yuzzaky berkata, mengikut para ulama amalan puasa enam ini ganjaran pahalanya bersamaan berpuasa selama setahun kerana setiap kebaikan itu akan diganjarkan 10 kali ganda, maka puasa Ramadan bersamaan 10 bulan, dan enam hari Syawal bersamaan dua bulan.
Rasulullah SAW bersabda: “Puasa di bulan Ramadan dan mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal adalah seperti puasa yang berterusan.” (Hadis dari Imam Muslim)
Menurut Yuzzaky, istiqamah untuk terus melaksanakan amal makruf berasaskan disiplin sepanjang Ramadan perlu diteruskan untuk mendidik diri sebagaimana dituntut Islam.
“Kita perlu merebut ruang untuk berpuasa sunat, meneruskan solat-solat sunat, berjaga separuh malam untuk bertahajud, bertaubat, mengeluarkan zakat wajib dan bersedekah untuk melapangkan asnaf dan sedekah jariah sebagai saham akhirat,” katanya.

USTAZ MOHD.
YUZAKKY MOHD. YUSOFF @ AB AZIZ

» Umur: 47 (1/1/1977)
» Asal: Kg Pauh Sembilan, Bachok
» Sejarah Pendidikan:
 Sekolah Kebangsaan Pauh 9
 Maahad Amir Indra Petra, Bachok (1990 – 1995)
 Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) – Diploma Bahasa Arab dengan Pendidikan 1996-1999
 Universiti al-Azhar Kaherah
(Ijazah Dirasat Islamiyyah)
Kerjaya ;
 Imam Tua Masjid Al Abrar, Mukim Pauh 9 (2013 – sekarang.
 Mursyidul Quran,
Baitul Quran Az Zahra, Kota Bharu (2013 – sekarang)
 Pakar Rujuk Ulum Quran,
Bait al-Quran Bekasi, Indonesia (2021 – sekarang)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya