Waspada fahaman pesong akidah Islam - Utusan Malaysia

Waspada fahaman pesong akidah Islam

AHMAD Rozaini Abdul Rahman di hadapan bangunan Akademi Darul Turath al-Hajari di Lenggong, Perak. – mingguan/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEWUJUDAN fahaman atau aliran bertentangan dengan agama menggunakan nama Islam yang boleh memesongkan akidah antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh orang Islam hari ini.
Pengetua Akademi Darul Turath al-Hajari Lenggong, Ahmad Rozaini Abdul Rahman yang menyatakan kebimbangannya mengenai perkara itu menegaskan, ini kerana akidah merupakan teras paling penting dalam agama yang jika tidak difahami, ia boleh menjejaskan akidah.
Bagi Ahmad Rozaini, 53, antara fahaman yang menjadi cabaran besar kepada umat Islam hari ini termasuk aliran wahabi, pluralisme, syiah dan fahaman-fahaman lain yang kadang kala sukar untuk dibezakan ia bertentangan dengan Islam.
“Aliran Wahabi contohnya, jelas memesongkan akidah, begitu juga lain-lain fahaman. Aliran ini ancaman besar kepada umat Islam sebab ia datang atas nama Islam juga, malah mereka ini juga melabelkan diri sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Lebih teruk golongan ini melabelkan mereka yang benar-benar Ahli Sunnah Wal Jamaah bukan dari golongan itu.
“Apa dikesalkan orang sebegini mendapat tempat dalam masyarakat, mungkin sebab fahaman dibawanya terlalu simple. Mereka kata Islam tak boleh itu, tak boleh ini, banyak amalan hari ini yang bidaah, jadi kesannya orang malas beribadat, jika kena ayat sebegitu, maka orang sambut.
“Keadaan ini membimbangkan kerana ia mudah memesongkan akidah. Untuk itu saya berharap jagalah akidah, belajarlah daripada guru-guru yang benar-benar memahami bidang akidah dan jangan belajar agama sekadar pengetahuan umum,” katanya.
Ahmad Rozaini juga mengakui kesal apabila wujud golongan yang mempertikaikan amalan-amalan tradisional atau isu ranting dalam ibadah seperti tiada selawat selepas solat sunat Tarawih dan lain-lain perkara yang menyebabkan umat Islam keliru.
Katanya, sedangkan amalan itu sudah menjadi tradisi yang amalkan ulama sejak dahulu.
“Ini sepertinya mahu memperlekehkan amalan oleh ulama-ulama dahulu. Mereka ini mungkin tak faham disiplin ilmu, siapa yang lebih layak bercakap seolah-olah mereka lagi pakar daripada orang dahulu, sedangkan orang dahulu hebat dengan kehebatan takwa, doa mustajab.
“Tapi mereka yang mempertikaikan amalan-amalan tradisi ini kalau tengok peribadi mereka pun tak mendatangkan rasa gerun kepada kita, aura tak ada sedangkan ulama dulu kalau kita nak dekat pun tak berani, nak sembang lebih-lebih pun tak berani,” katanya.
Ahmad Rozaini merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Selepas menamatkan pengajian peringkat sekolah menengah, beliau belajar pondok di Bagan Datuk dan Pengkalan Hulu. Beliau antara guru agama yang banyak mendapat jemputan mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di seluruh Perak.
Mengakui bercita-cita untuk membuka pusat pengajian Islam, Ahmad Rozaini berkata, sebelum ini hasratnya itu tidak dapat direalisasikan atas banyak faktor seperti masalah modal dan tiada pihak mahu membantunya.
“Saya memang ada keinginan membuka pusat pengajian agama sendiri malah sebelum ini ada tawaran untuk membuka pusat pengajian agama tapi saya tak bersedia.
“Ada menawarkan tempat untuk membuka pusat pengajian agama tapi tak sesuai kerana tanah kosong dan perlukan modal besar selain tiada yang hendak membantu saya, bukan mudah jika saya seorang yang membangunkannya.
“Alhamdulillah, ada tawaran untuk menjaga Akademi Darul Turath al-Hajari ini dan pusat ini sudah memiliki kelengkapan terutama masjid, jadi saya terima tawaran sebagai pengetua di sini. Selepas menjaga pusat pengajian ini, saya tidak lagi mengajar agama di masjid-masjid kerana saya mahu tumpukan pada pusat pengajian ini.
“Kuliah agama saya hanya di masjid di pusat pengajian ini yang dibuat secara live di media sosial,” katanya.
Menurutnya, pusat pengajian itu menawarkan pengajian teras Islam seperti Fardu Ain, Tauhid, Fikah, Tasawuf, al-Quran, pengajian kitab dan sebagainya.
“Buat masa ini hanya saya tenaga pengajar di sini, yang mempunyai 56 pelajar. Usia kemasukan untuk belajar di sini bermula dari umur 16 tahun sehingga tiada had usia, asalkan boleh membaca al-Quran.
“Di sini tiada bayaran dikenakan, datang sahaja belajar secara percuma,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya