Solat sempurna beri ketenangan hidup - Utusan Malaysia

Solat sempurna beri ketenangan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ULAMA dan ahli tafsir al-Quran Indonesia, Prof. Teungku Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy menyatakan solat adalah pengharapan sepenuh hati dan jiwa raga hanya kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan keikhlasan tanpa batas disertai hati yang sentiasa berzikir, berdoa, dan memuji-Nya.
Solat yang didirikan dengan sempurna dan menepati kehendak syarak pastinya banyak memberi kesan terhadap kesejahteraan hidup termasuk memantapkan iman, ketenangan jiwa dan benteng melakukan kemungkaran.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, penceramah bebas, Ustaz Muhamad Faizul Husain berkata, orang yang solat dengan sempurna dan ikhlas akan lebih mantap akidah dan keimanannya selain menampakkan hala tuju kehidupan yang berpaksi kepada adab dan amalan mulia.
Katanya, banyak fadilat diperoleh hasil solat khusyuk dan menepati tuntutan syarak.
“Seseorang yang mendirikan solat dengan sempurna, jiwanya akan tenang dalam menghadapi cabaran hidup apabila sentiasa yakin dan reda dengan ketentuan Allah SWT dengan menerima segala ketentuan-Nya dengan pasrah dan berlapang dada,” katanya.
Jelasnya, firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19-23 yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang; Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.
Terang Muhamad Faizul, Firman Allah SWT itu membawa maksud solat yang sempurna menjadi penawar hati yang memandu perlakuan harian seseorang, tiada kegelisahan dan tidak bakhil.
Justeru, katanya, Islam menuntut umatnya mempelajari rukun dan tertib solat dalam mencapai tahap kezuhudan kepada Allah SWT kerana solat itu juga membawa makna perhubungan umat manusia dengan Allah SWT.
Katanya, orang yang mendirikan solat dengan sempurna sentiasa berada dalam keadaan bersih yakni bersih diri dari segala kekotoran zahir dan bersih hati dari kekotoran batin.
“Seseorang yang hendak mendirikan solat adalah wajib membersihkan dirinya dari hadas besar dan hadas kecil, membersih tubuh badan, pakaian dan tempat solat dari najis yang tidak dimaafkan malah perlu membersihkan hati dari sifat riya’, suma’h, ujub dan sebagainya,” terangnya.
Muhamad Faizul berkata, seseorang yang mendirikan solat dengan sempurna insya-allah akan mendapat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat dengan berpegang kepada solat adalah tiang agama yang menuntut umat manusia sentiasa hidup dalam mengingati Allah, mentauhidkan-Nya, menyerahkan diri kepada Allah, dan menerima segala ketentuan-Nya.
“Hadirlah ke majlis ilmu di masjid dan carilah guru muktabar mempelajari rukun dan tuntutan solat. Adalah dianjurkan bagi lelaki untuk ke masjid menunaikan solat berjemaah. Sama-sama kita perkasakan ilmu dan berusaha tingkatkan ketakwaan,” katanya.

USTAZ MUHAMAD FAIZUL HUSAIN
» Asal: Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
» Umur: 48 tahun
» Pendidikan:
 Pondok Pengajian Islam Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan.
 Pondok Pengajian Islam Seligi
 Pondok Kedi Patoni, Wilayah Selatan Thailand
 Lifat Taring, Hadratulmaut, Yaman
 Markaz Nil, Kaherah, Mesir
» Tugasan hakiki: Mengajar kitab Usuluddin, Feqah dan Tauhid di masjid Kelantan dan Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya