PENGGUNAAN media sosial dalam kalangan remaja termasuk kanak-kanak seawal sekolah rendah pada masa ini sememangnya sudah menjadi perkara biasa sejajar dengan perkembangan teknologi.
Bagaimanapun, akses yang terlalu mudah terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan pelajar sekolah itu dibimbangi akan memberi kesan mudarat dan tidak terkawal sehingga mengundang impak negatif kepada kehidupan mereka.
Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam mengawal pergaulan anak-anak mereka di media sosial bagi menggelakkan berlakunya sebarang tindakan yang melampaui batas agama.
Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Sahsiah, Maahad Tahfiz Al-Quran Al Imam An Nawawi (Matin), Ustaz Mohd. Akmal Abd. Rahman, 33, berkata, ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang kukuh kepada anak-anak sebagai pendinding agar dapat mengelak daripada keburukan media sosial tanpa menafikan kewujudannya juga mempunyai banyak manfaat.
“Oleh itu, setiap ibu bapa perlu sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka supaya generasi muda masa kini sentiasa hidup dalam keadaan tunduk dan patuh kepada Allah SWT dengan tidak melanggar syariat-syariat ditetapkan,” katanya.
Di samping itu, Mohd. Akmal berkata, agama Islam juga amat menekankan aspek pendidikan rohani, jasmani, intelektual dan emosi dalam kehidupan setiap umatnya.
Katanya, pendidikan seimbang yang meliputi penjagaan menyeluruh dan lengkap juga wajib disediakan oleh ibu bapa untuk setiap anak-anak mereka.
“Dari segi hukum, adalah wajib ibu bapa menyediakan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak dan adalah haram hukumnya untuk mana-mana ibu bapa mengabaikan tanggungjawab dalam memberikan pendidikan sempurna kepada anak masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Akmal berkata, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya dengan berpaksikan kepada ajaran agama Islam.
“Hadis yang diriwayatkan Imam al- Bukhari daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah), maka ibu bapa lah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.
“Disebabkan itu, pentingnya tanggungjawab ibu bapa khususnya dalam mengawal pergaulan anak-anak mereka di media sosial agar tidak terjerumus dengan lembah dosa,” katanya.
Tambahnya, media sosial boleh menjadi elemen perosak kepada generasi baharu seandainya penggunaannya melebihi kebaikan dan tidak terkawal.
“Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak mereka untuk mencuba pelbagai aktiviti lain selagi tidak melanggar batasan.
“Malah mereka perlu meneladani Rasulullah SAW yang mana baginda menyeru ibu bapa untuk berkawan dengan anak-anak berumur 15 hingga 21 tahun,” katanya.
Mohd. Akmal Abd. Rahman
» Umur: 33 Tahun
» Jawatan: Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Sahsiah, Maahad Tahfiz Al Quran Al Imam An Nawawi (Matin) Perlis
» Pendidikan: Bahasa Arab & Pengajian Islam di Jamiah Afriqiya, Sudan