Jadikan al-Quran panduan untuk kemakmuran - Utusan Malaysia

Jadikan al-Quran panduan untuk kemakmuran

Shamsudin Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berbicara tentang kepentingan kitab suci al-Quran, pasti ramai mengakuinya sebagai panduan hidup terbaik bagi seseorang umat Islam.
Namun, mungkin ramai juga terlupa bahawa peranan al-Quran begitu luas sehinggakan memberi kesan terhadap hubungan sejagat dan keharmonian, sekali gus menjamin kemakmuran sekiranya kitab suci ini dijadikan rujukan.
Jejak Ulama minggu ini berkongsi huraian peri pentingnya al-Quran dalam hidup seorang tokoh agamawan terkenal di Johor lantaran wajahnya tidak asing lagi dalam menyebarkan ilmu mengaji kepada masyarakat.
Selaku Penasihat Rumah Ngaji Johor, Shamsudin Ismail menyeru umat Islam supaya sentiasa berpandukan kitab suci al-Quran bagi mencorakkan perjalanan sesebuah kerajaan atau negara supaya terus mencapai keamanan dan kemakmuran.
Menurutnya, al-Quran bukan sahaja untuk dibaca, malah lebih penting memahami isi kandungan yang boleh dijadikan panduan yang baik dan berguna.
Katanya, mencorakkan negara adalah suatu ibadah yang bukan semata-mata tugas ahli politik dan pihak berkaitan, malah peranan masyarakat yang merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Al-Quran mengajar kita bahawa ada kerajaan Allah binasakan dan ada yang Allah bantu. Jadi, sebagai umat Islam, wajar kita tiru cara-cara kerajaan yang Allah bantu sehingga masyarakat tersebut maju, kental dan selamat.
“Maka, wajar kita sebagai umat Islam mencorakkan perjalanan negara berpandukan al-Quran,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga Setiausaha Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor berkata, hingga kini, terdapat banyak lambakan kursus dan kelas mengaji yang boleh diikuti orang ramai termasuk diadakan secara percuma oleh sesetengah tenaga pengajar.
“Justeru, sangatlah rugi jika kita tidak menuntut ilmu daripada kalam Allah ini semasa hidup kita.
“Era kini sememangnya mudah kalau nak praktikkan al-Quran kerana selain daripada kelas belajar taranum, ada juga tenaga pengajar berkongsi kaedah pembelajaran dengan memahami maksud al-Quran. Kalau bukan kelas fizikal, kelas dalam talian juga banyak, pilih sahaja,” katanya.
Bercakap tentang peranan Rumah Ngaji, Shamsudin berkata, pihaknya mendidik masyarakat memahami isi kandungan al-Quran bagi dijadikan panduan dalam mencapai kemakmuran negara.
“Al-Quran ini merupakan mukjizat yang amat besar. Jika ingin memahami, ia bukan suatu yang mudah dan perlu sentiasa dititikberatkan.
“Justeru, pihak kami akan melakukan pemantauan dan latihan secara berkala bagi memastikan mereka yang menuntut ilmu al-Quran ini sampai ke jiwa dan hati mereka, sekali gus diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya