Hayati Rejab, Syaaban sebelum Ramadan - Utusan Malaysia

Hayati Rejab, Syaaban sebelum Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAT Islam wajar mengenali dan menghayati kalendar Islam sebagai panduan untuk melaksanakan kerja amal, melakukan amalan sunat dan pelbagainya sekali pun tiada keterbatasan waktu untuk melaksanakan amal makruf.
Berkongsi pandangan itu, Mudir Madrasah Ihya’ Ulumuddin, Ustaz Mohd. Khairudi Mohd. Alwi berkata, bulan-bulan Islam memiliki keistimewaan tersendiri dan bersejarah seperti yang dirawikan menerusi hadis Rasulullah SAW dan sirah yang disampaikan alim ulama terdahulu.
Menurutnya, keperluan untuk menghayati keistimewaan bulan Rejab dan Syaaban misalnya diberi fokus sebilangan umat Islam sebelum tibanya bulan Ramadan yang penuh barokah dan kemuliaannya.
“Bulan-bulan sebelum tibanya Ramadan merupakan waktu sesuai untuk mempersiapkan diri dari aspek fizikal, mental dan rohani. Rejab membawa maksud menghormati merupakan bulan ketujuh kalendar Islam manakala Syaaban bulan kesembilan yang membawa maksud penyebaran atau pemisahan.
“Umat Muslim digalakkan memperbanyakkan amal soleh dan mengelakkan diri daripada melakukan dosa. Suci dan bersihkan diri, mendidik hati dan nurani sebagai latihan mendirikan ibadat puasa dengan lebih sempurna,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mohd. Khairudi berkata, pada bulan Syaaban pula amalan berpuasa sunat amat digalakkan bukan hanya untuk melatih diri dengan berlapar dan dahaga tetapi menunjukkan kerinduan untuk taat kepada Allah SWT pada Ramadan nanti.
Amalan ini, katanya, telah diamalkan para sahabat Rasulullah SAW yang juga membuat persiapan untuk Ramadan sehingga enam bulan lebih awal.
Menurutnya, salah satu cara terbaik mempersiapkan diri untuk berpuasa selama sebulan adalah dengan memperbanyakkan puasa secara beransur-ansur kerana puasa yang kerap akan membantu mengukuhkan fizikal dan minda termasuk membaiki tingkah laku.
“Paling tidak, konsisten berpuasa pada Isnin dan Khamis. Bermuhasabah dan bertaubatlah secara berterusan agar memulakan Ramadan nanti dalam keadaan bersih. Itulah pendekatan terbaik untuk menyambut bulan istimewa dalam kalendar Islam.
“Setiap orang melakukan kesilapan namun ruang untuk bertaubat sentiasa terbuka. Berdoalah memohon keampunan atas kesilapan dan keterlanjuran kita kerana sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi mengasihani,”katanya.
Mohd. Khairudi berkata, ia termasuk melakukan istighfar iaitu doa memohon ampun kepada Allah SWT, berzikir sekurang-kurangnya menyebut ‘Astaghfirullah’ sebanyak 100 kali sehari.
Tambahnya, perbanyakkan solat sunat di samping solat fardu lima waktu sebagai amalan harian, bersedekah, meluangkan sedikit waktu membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya.
Mohd. Khairudi berkata, sepanjang bulan Ramadan nanti Madrasah Ihya’ Umuluddin meneruskan program tahunan tilawah al-Quran sebanyak 20 kali khatam, 70,000 kali bacaan surah al-Ikhlas dan 70,000 kali zikir tahlil kepada mereka (ahli keluarga) yang telah meninggal dunia selain banyak lagi program terancang memenuhi bulan berkenaan.

USTAZ MOHD. KHAIRUDI MOHD. ALWI
» Umur: 42 tahun
» Asal: Pasir Puteh, Kelantan.
» Sejarah pendidikan:
 Sijil kejuruteraan Mekanikal Pertanian, Politeknik Kota Bharu (2002)
 Madrasah Islamiah, Pondok Seri Permai, Seligi, Pasir Puteh, Kelantan (2003-2013)
 Pengajar/penceramah bertauliah masjid di Kelantan
» Tugas hakiki: Mudir Madrasah Ihya’ Ulumuddin, Pasir Puteh, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya