Elak berpoligami andai tidak mampu berlaku adil - Utusan Malaysia

Elak berpoligami andai tidak mampu berlaku adil

SYEIKH Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli di samping isterinya, Mahani Mohamad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARAT utama poligami adalah berlaku adil kepada isteri-isteri dan perkara itu jelas diterangkan dalam al-Quran tentang hak-hak seorang wanita yang harus bermadu.
Namun dewasa ini, ungkapan poligami adalah sunnah seringkali dijadikan ‘lesen’ utama untuk lelaki tanpa menyedari Islam memberikan amaran keras kepada lelaki yang gagal berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.
Bak kata tokoh ulama dan pendakwah bebas terkenal Kedah, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli, tidak terlepas pembalasan di akhirat kelak bagi semua terlibat andai poligami hanya manis untuk satu pihak namun pahit untuk yang lain.
“Asas poligami ini seperti firman Allah SWT: “Jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya”.
“Banyak orang (lelaki) tidak berpegang kepada ayat ini. Mereka berpegang kepada sunnah sahaja bahawa berpoligami ini ikut sunnah. Nak kahwin lebih daripada satu ikut sunnah tetapi bila praktik tak ikut sunnah.
“Sebenarnya, risiko sangat besar apabila berpoligami adalah terhadap isu berlaku adil kepada isteri-isteri,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kediamannya di Madrasah Darul Sajidin (Darsa) Kuala Nerang, Padang Terap baru-baru ini.
Malah tidak keterlaluan pendakwah bebas ini memberi gambaran beratnya tanggungjawab seorang lelaki yang berpoligami sebagai sebelah kakinya sudah berada di neraka seandainya dia gagal berlaku adil malah menganiaya isterinya.
“Saya meminjam cara tok guru saya berpoligami, beliau kalau ingin keluar pergi ke rumah isteri lain kalau terlupa barangnya seperti pen dibiarkan sahaja. Beliau tidak akan berpatah balik untuk mengambilnya kerana jika berbuat demikian beliau sudah mengambil masa giliran isteri lain.
“Kalau sakit, beliau mahu diusung ke rumah isteri lain kalau tiba giliran wanita itu sebab mahu berlaku adil. Demikiannya orang yang hendak berpoligami ini perlu berilmu jika dia mahu selamat di akhirat kelak,” katanya yang baru sahaja menghasilkan buku bertajuk, Rumah Tangga Bahagia.
Beliau juga menambah bahawa Rasulullah SAW juga mengingatkan umat baginda tentang kepentingan berlaku adil kepada isteri-isteri ketika berpoligami termasuk pembalasan yang dahsyat menanti mereka yang ingkar.
“Soal adil ini bukan berkaitan kebendaan seperti harta semata-matanya tetapi juga hati isteri-isteri yang dikahwini itu. Misalnya, orang kahwin dua atau lebih ini kalau tidak mampu buat keadilan maka siaplah.
“Kena tegas sama ada dia nak dikuasai oleh isteri pertama atau kedua sehingga ada seorang daripada mereka terabai, risiko berdosa ini dia akan tanggung juga,” katanya.
Bercakap tentang perkahwinan, beliau turut menjelaskan bahawa, tujuannya adalah untuk mencapai gagasan daripada Allah SWT dalam kehidupan semua manusia iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang).
“Allah SWT berfirman: ‘Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri daripada jenis kami sendiri, supaya kami bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya antara kamu, suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan’,” katanya
Tambah bapa kepada lapan cahaya mata yang sudah bergelar hafiz dan hafizah al-Quran ini, santun menyantuni antara suami isteri akan melahirkan anak-anak baik dan berperibadi mulia.
“Asam garam dalam rumah tangga tiada suami yang sempurna dan tiada isteri yang sempurna tetapi di sebalik kekurangan itu mereka harus saling lengkap melengkapi,” katanya.
Syeikh Muhd. Zainul Asri turut melahirkan kebimbangan dengan sikap suami isteri ketika ini yang gemar membuka aib pasangan masing-masing di media sosial tanpa segan silu.
“Sebagai suami isteri, umum atau masyarakat bukan tempat untuk sebar keburukan pasangan. Hendak ceritakan keburukan di depan kadi atau mahkamah syariah secara tertutup. Mendedahkan keaiban suami atau isteri sama seperti mendedahkan aib orang lain, tetap berdosa,” katanya.

SYEIKH MUHD ZAINUL ASRI
MOHD. ROMLI
» Lahir: Bakai, Baling
Kedah – 1969
» Pendidikan: Maktab Mahmud Alor Setar, Universiti Al-Azhar, Mesir, Universiti At-Tohiriah, Jakarta Indonesia
» Jawatan: Pendakwah bebas, Pengasas dan Penasihat Madrasah Darul Sajidin (Darsa) Kuala Nerang
» Isteri: Mahani Mohamad, 53

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya