Berdosa besar sebar berita palsu - Utusan Malaysia

Berdosa besar sebar berita palsu

MUHAMMAD ROHIM KAMIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDAR atau tidak, hakikatnya penyebaran berita palsu adalah ancaman besar buat masyarakat pada masa kini yang semakin mudah mendapat akses kepada penyaluran maklumat khususnya menerusi media sosial.
Ini kerana kesan buruk akibat penyebaran berita palsu itu boleh membawa kepada fitnah, prasangka dan benci membenci sesama umat sehingga mengundang perpecahan.
Disebabkan itulah, seluruh masyarakat Islam disaran agar mengamalkan konsep tabayyun (semak asas kebenaran) bagi menggelakkan timbulnya prasangka sekiranya menerima sebarang berita yang belum sahih.
Mudir Maahad Tahfiz Al Hikmah, ustaz Muhammad Rohim Kamis, 33, berkata, surah al-Hujurat ayat keenam telah menceritakan secara menyeluruh berhubung akhlak dan adab seseorang Muslim dalam menyelidik kesahihan sesuatu berita yang diterima agar tidak menimbulkan prasangka dalam diri masing-masing.
“Zaman perkembangan media sosial pada masa kini lebih membuatkan ramai masyarakat tidak tabayyun sewaktu menerima sesuatu berita sehinggakan mereka boleh tergolong dalam kalangan munafik kerana terus menjatuhkan hukum tanpa usul periksa.
“Orang yang menyebarkan berita palsu ini merupakan golongan fasik iaitu dalam kalangan yang membuat dosa besar seperti mencuri, rasuah, minum arak, berzina dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Padang Siding, Arau, Perlis, baru-baru ini.
Muhammad Rohim berkata, seseorang Muslim yang menyebarkan berita palsu juga dianggap sebagai golongan yang rugi memandangkan mereka akan muflis dengan pahala di akhirat kelak.
Katanya, selain kehilangan pahala amalan, golongan yang menyebarkan berita palsu juga perlu menanggung dosa orang lain atas perkara yang disebarkannya itu.
“Penyebaran berita palsu ini sememangnya amat bahaya kerana ia dapat mengundang fitnah dan menyebabkan berlakukan perselisihan antara satu sama lain.
“Disebabkan itulah Islam mengajar umatnya untuk sentiasa berakhlak mulia dan bersangka baik serta tidak gopoh dalam membuat sesuatu kesimpulan bagi mengelakkan kecelaruan,”katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Rohim yang juga Pengerusi Persatuan Madrasah dan Tahfiz Malaysia Perlis berkata, golongan ulama juga berpesan agar setiap Muslim meninggalkan apa sahaja yang dikatakan oleh seseorang memandangnya keredaan Allah SWT itu lebih penting berbanding perkara lain.
Katanya, setiap pihak perlu membersihkan hati sebelum menyebarkan sesuatu perkara yang belum disahihkan bagi menggelakkan perbuatan penyebaran berita palsu ini berterusan.
“Semua pihak perlu berhati-hati sewaktu menerima sebarang berita memandangkan kita berada di akhir zaman yang penuh dengan penipuan, haru-biru, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi dan sebagainya.
“Bila kita tidak hiraukan kata-kata orang, maka kita akan terus ikhlas kerana Allah SWT. Justeru, setiap percakapan yang dinukilkan tanpa dalil, hujah dan nisbah hendaklah ditinggalkan,” tegasnya.

MUHAMMAD ROHIM KAMIS
Umur: 33 tahun
Jawatan:
Mudir Maahad Tahfizal
Hikmah dan Pengerusi
Persatuan Madrasah dan Tahfiz Malaysia Cawangan Perlis
Pendidikan:
 Madrasah Ibtida’i Addiniah, Padang Siding, Perlis
 Pondok al Zuhdiyah, Parit Panjang, Kedah
 Maahad Buus Al Azhar, Kaherah, Mesir
 Tahfiz Al Ittisom, Shah Alam, Selangor
 Syahadah al-Quran, Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, Terengganu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya