ISTIQOMAH menurut kitab Riyadusshalihin adalah perlakuan yang tetap melaksanakan ketaatan pada jalan yang lurus dalam beribadah kepada Allah SWT. Ibnu Taymiah pula menafsirkan Istiqamah itu adalah usaha mencintai dan beribadah kepada Allah SWT dengan ikhlas dan bertekad mendirikan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya secara berterusan.
Istiqamah adalah perilaku konsisten dalam melakukan kebaikan, teguh pada satu pendirian malah tidak goyah dalam menghadapi cabaran dan rintangan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.
Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia berkaitan istiqamah, pendakwah bebas, Wan Syahman Wan Yunus berkata, perilaku baik yang kekal dilaksanakan akan membawa seseorang ke jalanan kebaikan sebagaimana dijanjikan Allah SWT kepada umat manusia.
Menurutnya, dalam surah al-Fushilat ayat ke 30 Allah berfirman yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami adalah Allah kemudian mereka istiqomah pada pendirian mereka, maka malaikat turun kepada mereka (dengan mengatakan): “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih dan bergembiralah kamu (memperoleh) surga yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.
“Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas bersandarkan hidayah-Nya pastikan akan mendapat ganjaran dan nikmat iman sekiranya ibadat yang didirikan itu dilaksanakan secara berterusan.
“Istiqamah adalah pendekatan yang mampu merubah kehidupan jahil kepada suasana yang lebih mulia sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam. Kita perlu bertaubat dan memohon doa kepada-Nya dalam usaha mencapai keredaan Allah SWT,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan tazkirah lepas Maghrib di Masjid At-Taqwa Cherang Ruku di Kelantan baru-baru ini.
Tambah Wan Syahman, mereka yang betul-betul yakin kebenaran agama Islam dan cintakan kemuliaan hidup akan terus konsisten mendirikan ibadah wajib, melaksanakan sunnah dan menjauhi semua larangan dan kemungkaran Allah SWT.
Beliau yang merupakan bekas raja dangdut Malaysia mengakui, istiqamah mendirikan solat lima waktu membawanya memperoleh hidayah untuk meninggalkan kealpaan yang selama ini diharungi di persada seni hiburan.
“Saya meninggalkan dunia glamor yang mengasyikkan dengan nekad berubah dan menjauhkan diri dari godaan nafsu keduniaan. Saya ikut jemaah, mempelajari ilmu agama dan amalan sunnah selain sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk terus istiqamah.
“Tenang dengan kehidupan sebegini dengan menziarahi masjid ke masjid dalam dan luar negara dengan satu niat yakni meningkatkan syiar ke jalan Allah, saling berpesan-pesan dan menyampaikan dakwah,” katanya.
Menurut Wan Syahman, perkara utama yang wajib diteruskan adalah memberi keutamaan dalam beribadat khususnya fardu solat yang wajib, solat sunat, berzakat dan bersedekah serta lain-lain amalan sunnah yang diamalkan Rasulullah SAW.
Katanya, seseorang hamba yang melazimkan sikap istiqamah dalam melakukan amalan soleh akan dekat dengan Allah SWT dan mendambakan untuk menjadi hamba yang dicintai-Nya dengan menikmati kemanisan iman.
Tambahnya, sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori, Allah berfirman : “Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang aku cintai daripada kewajiban yang aku bebankan kepadanya. Dan sentiasa (terus-menerus istiqamah) hamba-Ku dengan amalan-amalan sunnah hingga Aku mencintainya”.
Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk berubah daripada kejahilan kepada makruf kerana dalam kehidupan duniawi ini banyak halangan dan dugaan berlegar namun hidayah dan keinginan bersungguh-sungguh adalah penawar yang mustajab.
Wan Syahman berkata, apa yang perlu sepanjang beristiqamah adalah kawan yang terus mengingatkan kita mengenai amal soleh dan saling menasihati ke jalan kebaikan sebab itu perlu bersahabat dengan orang mukmin.
Katanya, ia bertepatan dengan firman Allah bermaksud “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang beriman,” (Surah At-Taubah: Ayat 119).
Peneguhan iman perlukan istiqamah
- Oleh TOREK SULONG
- 18 Disember 2022, 5:23 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Bahasa kebangsaan tanpa syarat
3 November 2024, 10:34 am
1MDB moga yang terakhir…
3 November 2024, 9:03 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am