Menyantuni pekerja asing Islam - Utusan Malaysia

Menyantuni pekerja asing Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UKHUWAH sesama manusia tidak terbatas kepada suatu kaum, bangsa dan keturunan. Hubungan insaniah perlu ditautkan dalam konteks global menerusi usaha dakwah berasaskan metodologi Islam yang melibatkan usaha beramal makruf, nasihat menasihati, penyampaian ilmu dan sebagainya.
Sheikh Ibnu Baz Rahimahullah dalam kitab Majmu’ Fatwa ada menyatakan “Mengagungkan syiar Allah akan menghasilkan pengukuhan hati yang kuat (wazi’), rasa takut yang tinggi kepada Allah SWT, wujud motivasi iman untuk melaksanakan tuntutan kewajipan, meninggalkan larangan, berlaku adil kepada diri sendiri dan menunaikan amanat kepada orang lain.”
Di negara kita, hubungan ukhuwah masyarakat setempat dengan pekerja asing terutama beragama Islam adalah perlu. Jalinan persaudaraan seagama perlu dilakukan agar golongan ini tidak tersisih dan menikmati nilai keakraban persaudaraan yang dituntut ajaran Islam.
Berkongsi pandangan mengenai perkara ini, pendakwah bebas, Ustaz Mohd. Adil Jalil berkata, ramai pekerja asing yang datang dari Bangladesh, Indonesia, India dan Myanmar yang beragama Islam bekerja di negara ini menuntut penduduk menunaikan tanggungjawab berdakwah dan membimbing mereka.
Menurutnya, jemaah dakwah tabligh juga tidak terkecuali mengambil tanggungjawab menghantar anggota jemaah ke kawasan pedalaman dan estet untuk dakwah berfokus.
“Sesetengah tempat pekerja asing mendominasi penempatan. Ini termasuk, surau di ladang pekerja asinglah yang hidupkan suasananya
“Mereka azan, solat berjemaah dan berzikir. Mereka juga berusaha ‘meninggikan’ rumah Allah. Allah sangat sayang kepada mereka. Walau penat bekerja masih ke surau solat berjemaah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Mohd. Adil, ada juga sebahagiannya hanya fasih memberi salam sebagai menggambarkan mereka berpegang kepada ajaran Islam tetapi tidak mendirikan amalan fardu malah tidak berminat ke surau.
Katanya, ada sebab kenapa mereka sedemikan yang barangkali perlu ditanya jemaah tempatan untuk ditarbiah dan dipulihkan kembali ke landasan.
“Kadangkala bukan mereka tidak mahu solat atau ke masjid, tapi ada kekurangan termasuk tidak tahu tentang bacaan dalam solat, bacaan surah al-Fatihah masih belum lancar dan sebagainya.
“Pendidikan agama di negara kita, tidak sama dengan pendidikan agama di negara mereka. Ada yang datang ke negara ini pada usia belasan tahun untuk mencari rezeki dengan mengabaikan tuntutan mempelajari ilmu agama,” katanya.
Mohd. Adil berkata, menyedari keperluan itu, anggotanya meneruskan tanggungjawab mendekati kumpulan ini, masuk ke lokasi tumpuan, mengajak ke surau yang bukan sahaja untuk mendirikan solat berjemaah tetapi mencakupi usaha mengajar ilmu agama.
Sebagai contoh, katanya, beberapa lokasi yang terdapat pekerja asing di sekitar Kluang, Johor diberi tumpuan dengan mengadakan program imarah surau, tazkirah, halaqah al-Quran, belajar surah lazim, bacaan taklim hadis selain kepentingan iman dan amal islam.
“Perkara yang paling menakutkan, apabila pekerja asing ini diabaikan tanpa usaha amal makruf dan ‘nahi anil munkar’, mereka akan mula meninggalkan perintah Allah dan seteruskan mudah melakukan perkara-perkara maksiat dan dosa,”katanya.
Malah, katanya, kadar jenayah juga boleh meningkat sedangkan apabila Allah murka, azab Allah akan tertimpa bukan hanya kepada mereka tetapi seluruh warga kawasan tertentu termasuk orang yang tidak bersalah.
Katanya, pendakwah hanya memberikan panduan, nasihat, menjaga solat, menjaga adab dan akhlak, menjauhi perkara dosa dan maksiat serta memakmurkan rumah Allah SWT selain melatih pekerja asing untuk menghidupkan amalan taklim sebagai amalan memakmurkan masjid dan pengisian Ilmu.

MOHD. ADIL JALIL
» Usia: 37 tahun
» Panggilan Popular: Abu Muayyad
» Asal: Felda Kahang Barat, Kluang, Johor
» Sejarah pendidikan:
Madrasah Arabiah Kluang
Maahad Johor, Johor Bahru
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Institut perguruan Tun Hussein Onn, Batu Pahat Johor.
» Pekerjaan:
Guru Pendidikan Islam SK Tunku Mahmood 2, Kluang Johor.
» Tugasan sampingan: Pendakwah /penceramah bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya