Jangan berpecah kerana politik - Utusan Malaysia

Jangan berpecah kerana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UKHUWAH menurut tafsiran Imam Hasan Al-Banna adalah persaudaraan Islam yang kental bersama tambatan hati dan jiwa di antara satu sama lain dengan ikatan akidah yang kukuh.
Ukhuwah memiliki pengaruh kuat dan aktif dalam proses membentuk kejayaan umat Islam.
Berkongsi pandangan mengenai perkara ini, guru takmir, Ustaz Sharipudin Ab. Kadir berkata, lingkaran ukhuwah itu menunjukkan kentalnya keakraban hubungan sesama umat Islam tanpa ada unsur negatif yang merungkai ikatan persaudaraan.
Menurutnya, ukhuwah yang teguh bersandarkan takwa akan menghindari perbuatan cemuh mencemuh, caci mencaci, membuka keburukan dan keaiban saudara sendiri malah dirasakan nikmat manisnya iman dalam kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda: “Ada tiga golongan yang dapat merasakan manisnya iman yakni orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari mencintai dirinya sendiri, mencintai seseorang kerana Allah, dan ia benci kembali pada kekafiran sebagaimana dia benci jika dia dicampakkan ke dalam api neraka.” (HR. Imam Bukhari)
“Allah SWT berfirman sebagaimana termaktub dalam surah Ali-Imran ayat 103 bermaksud ‘berpeganglah kamu kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai’ wajib menjadi pegangan umat Islam kerana amalan persaudaraan membawa nikmat keamanan dalam kehidupan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Sharipudin, kecelaruan yang disebabkan perbezaan fahaman politik, taksub terhadap sesuatu puak, terpesona tanpa batas dan wujud kebencian terhadap isu tertentu, janganlah menjadi punca meretakkan perpaduan dan kasih sayang sesama insan.
Katanya, pilihan raya umum yang menjadi tanggungjawab rakyat membina siasah negara dan memilih kepimpinan sudah berlalu, seharusnya tiada lagi provokasi, cemuhan, hinaan dan cetusan isu panas yang boleh meleraikan ikatan persaudaraan yang perlu ditautkan kembali.
“Lagi pun perbuatan itu dicela oleh agama yang perlu difikir bersama agar tidak melakukan keterlanjuran kata-kata, terlanjur menulis dan membuat hantaran tanpa memikirkan dosa,”katanya.
Sharipidin berkata, tahap paling rendah berukhuwah adalah salamatush shadr iaitu bersihnya hati daripada perasaan dengki, benci, dan sifat-sifat negatif lain terhadap saudara sendiri termasuk menjauhi kejahatan lisan dan kezaliman.
Dalam usaha membangun ukhuwah, katanya, amalan ta’aruf iaitu usaha saling mengenal sebagaimana yang termaktub dalam Surah Al-Hujurat ayat ke 13 Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
“Tafahum iaitu saling memahami juga penting termasuk segera memberi pertolongan sebelum diminta kerana pertolongan adalah salah satu hak sesama Islam yang harus ditunaikan,” jelasnya.
Menurutnya, ukhuwah juga akan terjalin dengan amalan berjabat tangan bersama pandangan empat pancaindera mata bila bertemu.
Sharipudin memberitahu, lain-lain amalan adalah kunjung mengunjungi, memberikan hadiah pada waktu tertentu, membantu golongan susah termasuk fakir miskin, memenuhi hak ukhuwah sesama jiran serta mengucapkan selamat pada saat kejayaan dicapai dan takziah yang disulami dengan kata-kata semangat kepada saudara yang berdukacita. – Mingguan Malaysia

USTAZ SHARIPUDIN AB. KADIR
» Umur : 57 Tahun
» Asal : Kampung Kuala Kubang, Besut Terengganu.
» Sejarah Pendidikan :
Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Terengganu.
Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Ittifakiah, Jerteh
Kolej Islam Klang
Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak
Universiti Putra Malaysia – Ijazah Sarjana Pendidikan.
» Pengalaman Kerja :
 Guru dan pensyarah Institut Aminudin Baki, Genting.
» Jawatan hakiki sekarang :
Pegawai School Improvement Partner Plus (SIP+)
Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Kelantan
» Tugasan sampingan :
Ketua Perhubungan Isma (Ikatan Muslimin Malaysia ) Negeri Kelantan.
Guru Takmir Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya