ERA globalisasi menyaksikan perkembangan teknologi maklumat tanpa sempadan. Maklumat kini di hujung jari dengan media baharu mengambil tempat menjadi medan penghubung masyarakat seluruh dunia.
Penggunaan Facebook, Instagram, Twitter bagaikan tidak boleh dipishkan apa lagi dalam ‘gelora’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Berkongsi pandangan berkaitan penggunaan media sosial, Pendidik Pusat Tahfiz Ibrahimi, Ustaz Mohamad Amirul Akram Mohd. Ezani berkata, media maya ibarat sebilah pisau yang boleh digunakan untuk pelbagai manfaat, namun jika disalahgunakan pisau itu boleh melukakan, memudaratkan dan membunuh.
Katanya, kemudahan itu tidak seharusnya disalahgunakan kerana kesannya boleh mendatangkan cabaran besar kepada umat Islam khususnya dalam menjaga adab, tutur kata dan penulisan.
“Penggunaannya dengan tujuan menyebar dan membuka ruang fitnah, membuka aib seseorang, mengadu domba, menjadikan alat untuk mencanang kebencian dan perbalahan adalah suatu kesalahan yang tidak bermoral dan berdosa.
“Perlu disedari semua pihak kerana setiap titipan, sebaran rakaman dan lain-lain audio visual yang membawa fitnah dan kemungkaran adalah saham dosa berterusan selagi mana ia ditonton khalayak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
Tambah Mohamad Amirul Akram, ada juga pihak mewujudkan akaun media sosial palsu untuk menyebarkan fitnah dan memancing emosi serta sensitiviti masyarakat.
Katanya, lebih menyedihkan ramai terpancing dengan isu yang ditimbulkan sehingga menghamburkan cacian dan sama ada dalam bentuk lisan, penulisan komen, video sindiran dan sebagainya.
“Bahkan penyebaran ilmu dan perkara yang baik turut mendapat cemuhan dan sindiran. Sebagai umat Islam kita sewajarnya menjaga adab penulisan, tidak mencipta isu tanpa asas dan bukti, sebaliknya sentiasa mendoakan kebaikan di atas setiap perjalanan hidup. Paling indah, jadikan media sosial sebagai platform berdakwah dan mentarbiah,” katanya.
Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Tiada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)
Mengulas lanjut, Mohamad Amirul Akram berkata, kecelaruan dalam penggunaan media sosial bukan hanya berkaitan isu keduniaan, bahkan dalam perbahasan ilmu agama, penyebaran video dan penulisan agama oleh para agamawan juga tidak terlepas daripada celaan dan fitnah.
“Penyebaran video yang tidak lengkap menambahkan lagi kritikan, celaan terhadap agamawan dan ilmu agama. Lebih memalukan, ramai sanggup menyebarkan fitnah terhadap golongan ulama dan para ‘asatizah’ sehingga memecahbelahkan masyarakat Islam sendiri,” katanya.
Menurutnya, hanya sifat malu sahaja dapat mengekang perbuatan buruk ini selain sentiasa takut terhadap kemurkaan Allah SWT. Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa jika tiada sifat malu dalam diri, maka manusia akan melakukan apa sahaja yang dihajati oleh nafsunya.
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama yang didahului umat manusia adalah ‘Jika kamu tidak malu, maka buatlah sesuka hatimu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tuntasnya, pengguna media sosial di pelbagai peringkat usia perlulah mengubah norma dan kebiasaan buruk untuk mensyukuri nikmat lisan dan tangan kita dengan menjadikannya sebagai pelaburan saham pahala bukan saham dosa yang berpanjangan.
USTAZ MOHAMAD AMIRUL AKRAM MOHD. EZANI
» Usia: 27 tahun
» Asal: Pasir Puteh, Kelantan.
» Panggilan popular: Sir Akram
» Biodata Pendidikan:
Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan
Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan – Sarjana Muda Pentadbiran & Hubungan Korporat (kepujian)
Pondok Sri Permai, Seligi Pasir Puteh, Pasir Puteh Kelantan (2013)
Pondok ad-Diniah al-Falahiah Permatang Rambai, Pasir Puteh Kelantan
Pusat Kecemerlangan Pengajian Islam Baitul Huda, Nilai Negeri Sembilan (2016-2018)
Pondok Moden