MUSIBAH seperti bencana malapetaka, kesakitan dan kemiskinan bukan bererti ia hukuman malah sebagai seorang hamba yang beriman kita harus melihat perkara itu sebagai satu petanda Allah SWT sedang menaikkan darjat penerima di sisi-Nya.
Besar ganjaran bagi setiap umat Islam saat reda dengan musibah. Malah menurut ulama muda Kedah, Syeikh Aminuddin Abdul Rahim, mengucap kalimah Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un saat berdepan mahupun mendengar perkhabaran buruk juga sudah disediakan ganjaran pahala.
“Orang yang ditimpa musibah itu, mereka mengucapkan, Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un bermaksud, Sesungguhnya, kita ini milik Allah SWT dan kepada Allah jualah kita kembali.”
Katnya, orang yang ucap, Inalillah ini ketika ditimpa musibah Allah berikan keampunan, rahmat dan petunjuk.
“Musibah ini perkara yang sedih seperti kematian keluarga, kehilangan duit malah, ada satu hadis menyebut, Saidina Umar RA, satu ketika kasutnya terputus, maka dia juga menyebut, Inalillah.
“Ramai terkejut kerana selalunya bila kematian baca Inalillah tetapi ini kasut putus. Jadi sunat ucap Inalillah ketika apa jua musibah,” katanya ketika ditemui di Maahad Nurul Hidayah Lit Ta’lim Wat Tazkiyah Guar Chempedak, Kedah baru-baru ini.
Ditanya adakah musibah itu hukuman atau denda kepada umat Islam? kata Tokoh Guru Takmir Kedah 2020 ini, perkara itu perlu ditafsirkan dengan menilai tahap keimanan penerimanya.
“Tidak ada kesusahan yang menimpa melainkan dengan keizinan Allah dan sesiapa yang beriman kepada-Nya, Allah akan memimpin hatinya untuk menerima apa yang berlaku itu dengan tenang dan sabar dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (At-Taghabun 11).”
“Musibah, adakah ia satu hukuman, denda atau perkara merupakan penyebab naik darjat? Itu terletak kepada keadaan penerima kerana jika orang itu baik, dekat dengan Allah SWT dan terkena musibah maka itu adalah penghapus dosa, penambah pahala dan pengangkat darjat di sisi-Nya. Andai penerima itu jauh daripada Allah SWT? Itu satu bentuk amaran, peringatan dan hukuman kepadanya,” katanya.
Beliau memberi contoh, golongan nabi juga seringkali diuji dengan pelbagai musibah seperti Nabi Ayub AS yang diuji dengan kesakitan seperti diceritakan dalam al-Quran namun tetap bersabar.
“Ini adalah contoh kepada kita bahawa Allah SWT bagi ujian bukan benci tetapi mengangkat darjat,” katanya.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan, terdapat juga golongan yang disifatkan ‘terlepas’ daripada musibah dunia walaupun hidup jauh terpesong daripada ajaran Islam, kerana kenikmatan dunia yang dikecapi itu mampu menjadi azab pada hari akhirat.
“Dalam surah al-Fatihah mengajar kita balasan terhadap kebaikan dan kejahatan itu kadang-kadang di dunia, ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihi’ yang disebut dua kali dalam surah ini mentafsirkannya. Begitu juga ayat seterusnya ‘Yang menguasai pemerintahan hari pembalasan’.
“Ada yang tak kena balasan buruk di dunia maka ada balasan di akhirat. Kita tengok yang Allah bagi kesenangan di dunia bukan tanda Allah sayang dia, itu tanda Allah akan hukum di akhirat. Ada orang yang gagal dalam ujian dunia seperti Firaun dan Namrud,’’ kata penceramah Radio Kedah FM ini.
Jelasnya, sebagai umat Islam setiap tindakan harus berpandukan keimanan, akidah dan matlamat yang berteraskan tiga persoalan utama.
“Siapakah menciptakan kamu? Kenapa kamu diciptakan dan ke manakah kesudahan kamu? Jawapannya, Allah mencipta kita, diciptakan untuk menyembah Allah SWT dan kesudahan kita adalah ke kubur.
“Jadi hidup di dunia ini cuma satu proses siapkan diri untuk dapat keuntungan di akhirat,” katanya.
Kebanyakan daripada kita, tambah beliau, bukan sahaja terperangkap dengan kesenangan di dunia malah melakukan perkara dilarang dalam ajaran Islam tanpa silu.
“Istidraj Allah, hati-hati dengan ini. Allah bagi kesenangan namun dia guna untuk buat jahat. Derhaka kepada Allah, terima rasuah, buat zalim kepada orang. Dalam al-Quran diceritakan tentang Qarun yang kaya raya sehingga semua orang zaman itu ingin menjadi seperti Qarun.
“Namun alim ulama sering berkata dunia ini akan jadi penghalang untuk orang memusuhi Allah tetapi ia juga boleh jadi kenderaan untuk membawa kita dekat dengan Allah,” katanya. – Mingguan Malaysia
SYEIKH AMINUDDIN ABDUL RAHIM
» Umur: 51
» Asal: Bukit Besar, Yan, Kedah.
» Pendidikan:
– Sarjana Syariah Kolej Universiti Insaniah (Kuin-kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah)
– Sarjana Muda Syariah Universiti Al-Azhar Mesir
» Tugas hakiki:
Mudir Maahad Nurul Hidayah Lit Ta’lim Wat Tazkiyah Guar Chempedak Kedah
– Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kedah
– Ahli Jawatankuasa Zakat Kedah
– Penceramah bebas