Jangan bersengketa kerana politik - Utusan Malaysia

Jangan bersengketa kerana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IMAN menjadi syarat pertama bagi menyatukan umat sebelum aspek ilmu dan akhlak yang mencipta ‘syakhshiyyah’ yang melengkapi keutuhan perpaduan dalam komuniti.
Syakhshiyyah al-Islamiah adalah perpaduan antara cara berfikir (aqliyyah) dan sikap (nafsiyyah) dalam diri seorang Muslim yang membawa kepada keutuhan perpaduan dan kekuatan Islam berteraskan ajaran al-Quran dan al-Hadis.
Berkongsi pandangan berkait peri perlunya perpaduan dan persaudaraan, Mudir Madrasah Ribat Toha, Kampung Wakaf, Ustaz Mohammed Zuhairi Razali berkata, tanpa keimanan, maka integriti seseorang itu hanyalah suatu pembohongan.
Menurutnya, syarat beriman menjadi rukun terpenting dalam konteks membina persaudaraan Islam berasaskan tuntutan agama dan ketakwaan kepada Allah SWT.
“Denyut nadi perlu bersandarkan perintah Allah SWT agar tiada perbalahan, persengketaan, pertikaman lidah kerana perbezaan fahaman politik dan sebagainya.
“Sebarang kekhilafan yang berlaku perlu kembali merujuk kepada al-Quran dan hadis agar tautan kasih semasa Islam kembali utuh tanpa dinodai nafsu dan hasrat luaran,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kata Mohammed Zuhairi, Allah SWT dalam firman-Nya (Surah al-Hujurat: 10) yang bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat rahmat.
Katanya, penegasan itu mencakupi peri pentingnya hubungan dan perdamaian yang bermula dalam institusi kekeluargaan, kejiranan, komuniti kampung, negeri dan rakyat seluruh negara.
“Sebaik-baiknya, dalam kita mengukuhkan siasah pentadbiran negara, sengketa disebabkan perbezaan aliran politik tidak seharusnya menjadi ‘dalang’ meretakkan hubungan silaturahim dan ukhuwah sesama kita.
“Agama dan politik tidak dapat dipisahkan. Kekuatan kuasa politik penting untuk mengukuhkan kedudukan Islam dalam negara, Justeru kerjasama dan perpaduan Islam perlu menjadi teras paling utama dalam membina negara yang dihuni masyarakat majmuk,” katanya.
Dalam mengharungi kehidupan, tambahnya, manusia tidak dapat lari daripada pelbagai pengaruh termasuk terpedaya dengan penyebaran berita palsu dan pembohongan yang pastinya membawa kerosakan sebagaimana ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kalian, orang fasiq membawa suatu berita, maka selidikilah ia dengan teliti agar kalian tidak menimpakan suatu musibah ke atas satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang sebenar, lalu menyebabkan kalian menyesal atas perbuatan kalian tersebut.” (Surah al-Hujurat: 6)
Mohammed Zuhairi berkata, maklumat tidak berasas, fitnah dan berita palsu boleh merosakkan ilmu bermanfaat yang boleh menyebabkan manusia terpesong daripada petunjuk Allah SWT, bahkan ia juga boleh merosakkan hubungan manusia dengan Allah SWT dan sesama manusia.
Tambahnya, manusia diciptakan wajib hidup bermasyarakat dan bertamadun sekalipun mereka diciptakan dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya yang berbeza, namun mereka tetap perlu bersatu dalam konteks kemanusiaan.
“Kita tidak mampu hidup bersendirian tanpa berhubung antara satu sama lain, sama ada diurus atau terpaksa secara tabii. Justeru di sinilah perlunya konsep perpaduan masyarakat majmuk dan madani.
“Berpolitik atau bernegara adalah ciri terpenting bagi memakmurkan bumi dengan adil dan saksama mengikut hikmah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ketika menciptakan manusia. Semuanya sudah tersurat dan tersirat,” katanya.
Tegasnya, Rasulullah SAW menegakkan negara dengan mendahulukan perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk, bermula dengan menyatukan umat Islam adalah model terbaik dalam membina ketamadunan sesebuah negara. – Mingguan Malaysia

USTAZ MOHAMMED ZUHAIRI RAZALI
» Usia: 34
» Asal: Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan
» Sejarah Pendidikan:
 Sekolah Rendah Arab Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan
Maahad Saniah Pasir Puteh, Kelantan
Pondok Seri Permai Seligi, Pasir Puteh, Kelantan
Pondok Moden Kandis, Bachok (4 tahun)
Hadralmaut, Yaman – bidang Syariat dan Usulluddin (6 tahun)
» Tugas hakiki: Mudir Madrasah Ribat Toha, Kampung Wakaf

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya