Memerdekakan diri daripada kealpaan - Utusan Malaysia

Memerdekakan diri daripada kealpaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan tarikh penting bagi rakyat Malaysia. Peristiwa bersejarah tanah air mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Setiap tahun Bulan Kemerdekaan dan Ambang Merdeka disambut seluruh rakyat dengan pelbagai pendekatan dan simbolik. Pada tahun ini genapnya 65 tahun negara menyambut hari ulang tahun kemerdekaan.
Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia, Imam Tua Mukim Permatang Sungkai, Mohd. Rahim Jaafar berkata, sebagai umat Islam, kesyukuran kepada Allah SWT dengan melafazkan kalimah Alhamdulillah perlu di atas peluang untuk terus menikmati kehidupan dalam suasana aman, damai dan harmoni.
Menurutnya, kesyukuran itu adalah tanda menghargai nikmat keamanan dan juga penghargaan kepada perjuangan terdahulu kerana rakyat selepas merdeka tidak merasai keperitan hidup, pahit getir perjuangan semasa tanah air di bawah kekuasaan dan penindasan penjajah.
“Apa ertinya sebuah kemerdekaan jika akhlak kita masih dijajah, dipengaruhi, dan mudah terikut-ikut gaya hidup negatif masyarakat jahiliah.
“Pengucapan kata-kata keji, pemarah, menghina, menuduh tanpa usul periksa, menyebarkan fitnah sehingga mewujudkan ketegangan antara puak atau antara kaum bukan melambangkan pengertian kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
Mohd. Rahim berkata, rakyat khususnya umat Islam perlu berpegang dan mengamalkan sifat-sifat yang ditunjukkan Rasulullah SAW iaitu sidiq, amanah, tabligh dan fatonah sebagai tunggak pengisian kemerdekaan negara.
Menurutnya, sifat dan amalan yang ditunjukkan Rasulullah wajib direalisasikan sebagai amalan kehidupan sama ada dalam rumah tangga, di pejabat mahupun di mana sahaja.
“Sifat amanah yakni terpuji pastinya menjadi paksi kepercayaan dalam institusi masyarakat. Amanah perlu wujud dalam setiap perbuatan tidak mengira waktu, tempat atau kepada sesiapa sahaja sama ada rakyat atau pemimpin.
“Tabligh membawa maksud menyampaikan perihal kebenaran berpaksikan ajaran Islam termasuk menyatakan larangan-Nya,” katanya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat ke 67 bermaksud; Wahai Rasulullah! Sampaikan apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusan-Nya, dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.”
Menurut Mohd. Rahim, sifat fatonah pula iaitu cerdas yang mana Rasulullah SAW menonjolkan kecerdasan dalam perjuangan dan kepimpinan membina ummah.
Tambahnya, erti kemerdekaan yang sebenar bukan hanya bebas daripada cengkaman penjajah tetapi rakyat perlu menonjolkan kebijaksanaan dan cerdas dalam menempuh cabaran serta penjajahan era baru dari segi aspek ideologi, budaya dan ekonomi.
“Perlu diingatkan, agama Islam menuntut keupayaan ekonomi. Negara yang miskin dan mundur akan sentiasa ditindas kerana terpaksa bergantung kepada bantuan orang lain.
“Memerdekakan diri kita daripada perkara yang melalaikan, kealpaan dan kemalasan yang akhirnya akan merugikan diri sendiri.
“Kita merdekakan diri dengan acuan agama. Jauhkan perasaan dengki, khianat, dendam, iri hati, berprasangka taasub kepada sesuatu dan segala sifat negatif yang boleh membawa kebinasaan dan perpecahan,” katanya.
Tambah Mohd. Rahim, usaha memperbaiki kelemahan dan kemunduran dalam pembinaan institusi keluarga Islam, pembentukan akhlak anak-anak, kepedulian kepada jiran tetangga dan masyarakat perlu direalisasikan.

MOHD. RAHIM JAAFAR
» Umur: 58
» Latar belakang pendidikan:
Sekolah Menengah Ugama (SMU) Diniah Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan
Diploma Pendidikan Sains & Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Pondok Pengajian Islam Sri Permai, Pasir Puteh, Kelantan.
Kerja hakiki: Imam Tua Masjid Mukim Permatang Sungkai, Pasir Puteh, Kelantan.
(Pesara Pegawai Agama Kor Agama, Angkatan Tentera Malaysia)

MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya