Kembalikan amalan sunnah bersalaman - Utusan Malaysia

Kembalikan amalan sunnah bersalaman

Ustaz Zaizani Azhari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FASA endemik Covid-19 me­nyaksikan masih ramai individu yang patuh terha­dap prosedur operasi standard (SOP) sebelumnya. Ia bagaikan suatu disiplin, kebiasaan dan amalan baharu yang turut berlaku di masjid ketika ini.
Sunnah yang diamalkan iaitu berjabat salam dilihat terabai kesan terikut-ikut dengan penetapan SOP ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Ahli jemaah terus bangkit dan meninggalkan masjid sebaik sahaja selesai berdoa tanpa ada amalan penting yang berdaya memupuk ukhuwah.
Tidak salah kiranya amalan bersalam-salaman itu tidak dilaksanakan atas sebab yang memudaratkan sebagaimana sebelum ini, namun ia tidak seharusnya berpanjangan sehingga menampilkan bu­daya baharu dalam tertib berkomunikasi dengan meninggalkan amalan yang dituntut.
Berkongsi pendapat bersama Mingguan Malaysia, Imam Mukim Air Tawar Semerak, Ustaz Zaizani Azhari berkata, umat Islam perlu kembali amalkan budaya bersalam dan memberi salam dalam iklim kehidupan terkini yang dilihat sudah selamat daripada ancaman wabak penyakit.
Menurutnya, peringatan perlu dimaklumkan semula agar tertib berjabat salam selepas solat berjemaah atau dalam satu pertemuan antara dua individu diamalkan semula.
“Malah budaya yang dituntut dan lazim diamalkan perlu kembali dilaksanakan tanpa perlu trauma atau khuatir terhadap musibah kerana ia dituntut oleh agama Islam dalam membina kekuatan ukhuwah serta peradaban.
“Dalam sebuah hadis yang diriwayat Imam Muslim bermaksud, “Kewajipan orang Islam terhadap orang Islam yang lain ada enam perkara. Apabila berjumpa maka hendaklah memberi salam, jika kamu diundang hendaklah hadir, apabila dia meminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin dan menyebut kalimah ‘Alhamdulillah’ doakan dengan ‘Yarhamkallah’, jika dia sakit lawatilah dia dan apabila dia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya,” katanya ketika ditemui di Masjid Mukim Air Tawar Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, baru- baru ini.
Zaizani yang juga tenaga pengajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) berkata, amalan berjabat tangan dilihat semakin hambar bukan sahaja selepas solat berjemaah di masjid tetapi sudah menular dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, Imam masjid dan surau perlu memberi peringatan dan teguran kepada ahli khariah supaya tertib berbaris dalam saf dan berjabat kedua tangan antara satu sama lain diamalkan kembali.
Katanya, Islam adalah agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam perhubungan sesama manusia yang mana bersalaman ketika bertemu termasuk di dalam adab-adab Islam dan akhlak yang terpuji.
“Amalan itu sebenarnya menggambarkan sifat cinta dan kasih sayang dan ada fadilat di sebaliknya. Pada fasa endemik ini pastikan juga amalan ziarah orang sakit dan kematian dan mengiringi jenazah kembali sebagaimana lazimnya,” katanya.
Daripada al-Bara’ berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah ada dua orang Muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamaman, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Zaizani berkata, daripada Qatadah RA, beliau berkata, kepada Anas bin Malik RA yang bermaksud: “Adakah terdapat perbuatan bersa­laman dalam kalangan sahabat Nabi SAW?” Jawab Anas: “Ya.” – Riwayat al-Bukhari (6263)
Menurutnya, Imam Ibn Batthal dalam kitab al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan bersalaman adalah satu kebaikan menurut kebanyakan ulama dan Imam al-Nawawi pula menyatakan bersalaman merupakan sunnah yang disepakati ketika bertemu.
“Justeru, dalam konteks mengamalkan sunnah bagi memupuk ukhuwah mengikut ajaran Islam, simbol bersalaman dengan meletakkan tangan kanan pada dada kiri semoleknya ditukarkan kembali dengan menghulurkan kedua-dua tangan kita dengan genggaman erat bersama pandangan mesra dan senyuman ketika berjabat tangan sebagaimana amalan terdahulu,” katanya.

USTAZ ZAIZANI AZHARI
» Umur: 51 tahun
» Asal: Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan.
» Sejarah pendidikan:
Pusat Pengajian Islam Pondok Moden, Bachok, Kelantan.
» Tugas hakiki: Guru Yayasan Islam Kelantan.
Imam Mukim Air Tawar Semerak.
» Tugas sambilan: Pengerusi Rumah Kebajikan Anak Yatim Sri Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya