KELAS bahasa Arab tumbuh bagai cendawan di negara ini termasuk secara online dan mereka yang mampu menguasai ilmu itu sudah tentu mendapat manfaat daripadanya. Salah seorang daripadanya ialah, Imam Masjid Kariah Pokok Asam, Abdullah Yahaya di Sungai Petani, Kedah.
Selepas sahaja memegang jawatan itu pada Ogos 1998, banyak tugas yang beliau lakukan termasuk memberi kuliah agama di dalam dan luar negara, ia bertujuan memberi nasihat terutamanya kepada generasi masa kini yang mudah terjebak dengan pelbagai perkara tidak diingini jika tiada panduan dan pemantauan.
“Kenangan menarik pada 2015, saya dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Negeri Kedah dan pada 2019 pula sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kedah,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Taman Sri Pinang, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.
Beliau yang kini berusia 78 tahun juga pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau daerah Kuala Muda selama lima tahun mulai Januari 2001.
Kemudian menjadi Yang Dipertua Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid daerah Kuala Muda pada 2010 hingga 2021 dan pada 2015 pula menjadi Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Kedah.
Pada 2004 hingga 2019 beliau berpeluang mengajar agama setelah dilantik menjadi guru takmir di Penjara Sungai Petani.
“Saya biasa menjadi Ketua Asrama Akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Gajah Mati, Pokok Sena, Kedah selama lapan tahun sebelum ditukarkan ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sungai Petani sebelum bersara.
“Bagi memenuhi masa lapang, saya menjadi penasihat di Fadlin Travel & Tours Sdn. Bhd. di Padang Serai, termasuk membawa penduduk tempatan menunaikan umrah di Mekah,” katanya lagi.
Ketika berada di agensi itu, banyak tempat menarik lagi bersejarah sempat dilawati, termasuk England, Perancis, Mesir, Pakistan, Turki, Baitulmuqaddis, Jordan, Jepun, Thailand, Indonesia dan lain-lain.
Berada di beberapa negara tersebut, Abdullah jadi bersemangat dan ceria kerana berupaya menguasai bahasa asing dengan baik, termasuk Arab, Inggeris dan Hokkien.
“Saya juga berpeluang menyampaikan kuliah dalam satu program di Kedutaan Malaysia di Tokyo, Jepun pada 2011.
“Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai imam masjid, saya masih berusaha mempelajari bahasa Arab secara online di Universiti Malaya dan pada 8 Oktober tahun lepas dapat sijil lulus kursus bahasa itu,” ceritanya.
Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, masalah kesihatan mata perlu diberi perhatian serius dalam menjaga tugas seharian bagi melancarkan kerjaya seseorang, pun ramai sering mengabaikannya.
“Bila mata terang, banyak manfaat diperoleh dan saya pernah memandu kereta sendiri menuju dari Kedah ke Shah Alam, Selangor bermula pukul 11.30 malam dan sampai di sana pukul 4.30 pagi.
“Bagaimanapun, di rumah hobi saya adalah menanam pelbagai jenis sayur-sayuran,” cerita Abdullah lagi.
Dia juga Penasihat makanan halal kepada Hotel Park Avenue Sungai Petani serta Penasihat Jawatankuasa Kifayah Tanah Perkuburan Islam di Taman Kelisa, Sungai Petani dan Semeling di Merbok.
ABDULLAH YAHAYA
» Umur: 78 tahun
» Asal: Kampung Permatang Kerai Besar, Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang.
» Sejarah Pendidikan: Sekolah Melayu Ara Rendang dan Madrasah Khariah Pokok Sena kemudian Sekolah Agama Al-Mashoor Pulau Pinang.
» Pekerjaan: Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bersara wajib sebagai Pegawai Rundingcara di Pusat Pemulihan Dadah Serenti Sungai Petani
22 Mac 1999.