Sambut merdeka dengan rasa insaf

Sambut merdeka dengan rasa insaf

merdeka
Bekas peneroka Felda, Man Jusoh, 67, memasang bendera Malaysia sempena kempen kibar Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan di sekitar rumahnya di Felda Chuping, baru-baru ini - GAMBAR HIASAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT patriotisme memang dituntut oleh Islam dalam mempertahankan maruah agama dan tanah air. Pun begitu, kecintaan itu perlu ditonjolkan tanpa merentasi batas yang tidak dibenarkan syarak.

Allah SWT menggambarkan di dalam al-Quran bahawa sudah menjadi satu kelaziman manusia itu sukar untuk dipisahkan dengan tanah airnya. Ia adalah lumrah dalam kehidupan.

Apa pun, kecintaan kepada tanah air perlu disulam dengan dasar-dasar syarak dan bukannya sentimen semata-mata dan jangan condong kepada perbuatan yang sia-sia.

Berkongsi pandangan berkaitan sambutan bulan kemerdekaan negara bersama Mingguan Malaysia, pendakwah muda, Muhammad Ubaidah Mustaffa berkata, corak sambutan yang berunsur keseronokan melampau dan kealpaan seharusnya tidak diamalkan.

Contohnya, menunggu detik 12 tengah malam pada 31 Ogos bukan medan untuk berhibur tetapi perlu disulami dengan keinsafan dan kesyukuran dengan melakukan amal makruf yang lebih bermanfaat.

“Banyak cara yang boleh dilaksanakan khususnya dalam kalangan remaja Islam dengan melakukan solat sunat kesyukuran dan berdoa agar negara tercinta sentiasa aman makmur dan dalam lindungan Allah SWT.

“Ia tidak perlu dimeriahkan dengan acara merempit, bersorak tanpa batas atau bergembira dengan bercampur lelaki dan perempuan bagaikan tiada garis panduan syarie,” katanya ketika ditemui di Maahad Tahfiz Misbahul Ulum, Dalam Rhu Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Muhammad Ubaidah berkata, ceramah agama berteraskan patriotisme dan perjuangan mempertahankan kedaulatan tanah air di masjid-masjid juga boleh dianjurkan untuk santapan ilmu golongan muda.

Pengurus pentadbiran tahfiz itu berkata, semangat cintakan tanah air bukanlah asobiyyah yang tersimpang. Ia juga bukanlah semangat nasionalisme yang keterlaluan. Ia adalah kefahaman bahawa tuntutan mempertahankan tanah air itu adalah salah satu daripada tuntutan syarak.

“Di dalam al-Quran ditunjukkan pelbagai kisah kemerdekaan orang terdahulu yang dapat menginspirasi umat Islam dalam melaksanakan aktiviti dan pengisian kemerdekaan negara.

“Intipati dan makna kemerdekaan dapat diambil dari kisah Nabi Ibrahim AS ketika ia membebaskan dirinya daripada kehidupan bangsanya yang sesat. Sebagaimana yang termaktub dalam Surah al-An`am ayat 76-79 mengisahkan perjalanan spiritual Nabi Ibrahim AS dalam mencari Tuhan.

“Pencarian spiritual itu adalah usaha dan kudrat Nabi Ibrahim dalam membebaskan hidupnya dari orientasi hidup yang diyakininya keliru, namun hidup subur dalam masyarakatnya,” ujarnya.

Muhammad Ubaidah berkata, sirah Nabi Musa ketika membebaskan bangsanya daripada penindasan Firaun seperti yang tersurat dalam surah al-A`raf: ayat 127, al-Baqarah: ayat 49 dan surah Ibrahim: ayat 6 perlu diteliti dan dihayati.

Malah, perjuangan Rasulullah SAW, katanya, yang mendidik manusia menyembah Allah SWT dengan pelbagai liku-liku cabaran dalam memerdekakan spritual dan kejahilan manusia seperti yang dikalamkan dalam surah Lukman: ayat 13, surah Yusuf: ayat 108, surah adz-Dzariyat: ayat 56, dan surah al-Jumuah: ayat 2 ada perkaitan makna yang tersirat dengan kemerdekaan hidup global.

“Tidak salah dan bukan halangan untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana ia adalah panji kebanggaan negara. Susur galur jerih payah pejuang dan pemimpin terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara adalah jasa yang tidak boleh dilupakan. Justeru, doakan ketenangan roh mereka dirahmati Allah SWT.

“Apa yang perlu ditegur adalah cara merayakan sambutan ambang merdeka yang seharusnya berpaksikan ajaran Islam bukannya mengikut hawa nafsu yang sentiasa mengejar keseronokan duniawi,” katanya.

BIOADATA MUHAMMAD UBAIDAH MUSTAFFA

  • Umur: 24 tahun
  • Asal: Kota Putra, Besut, Terengganu
  • Pendidikan: Pondok Al-Islah Tok Dor, Terengganu, Madarasatul Quran Kubang Bujuk, Serada, Terengganu.
  • Tugasan hakiki: Pengurus Pentadbiran Maahad Tahfiz Misbahul Ulum, Dalam Rhu Semerak, Pasir Puteh, Kelantan
    Pengajar al-Quran dan tajwid Masjid Alor Lintang, Besut, Terengganu.
  • Hasrat: Ingin melanjutkan pengajian Kitab Bukhari/Muslim di Afrika Selatan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya