Tindakan membuka lebih banyak sekolah dan pusat tahfiz baharu perlu dihentikan sebaliknya fokus perlu diutamakan dalam memperkasakan dahulu sistem pembelajarannya.
Berkongsikan pandangan, Pengetua dan Pengasas Sekolah Islam Nur Al-Azhar, Port Dickson, Rohidzir Rais berkata, ketika ini pembukaan pusat tahfiz dan maahad ibarat cendawan tumbuh selepas hujan sedangkan isu kekurangan dana sering menjadi isu utama membelenggu institusi agama ini.
Jelas beliau, keadaan itu menyebabkan keberadaan pusat-pusat tahfiz acap kali mendapat pandangan negatif segelintir masyarakat termasuklah mengenai pelajarnya yang mengutip derma, pentadbiran tidak cekap dan tiada ketelusan dalam mengurus dana.
“Oleh itu, tanpa perlu menambah bilangan maahad dan pusat tahfiz ini, sebaliknya tumpuan diberikan dalam memperkasa sistem pembelajarannya.
“Daripada segi dana, tentulah ia memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan dan masyarakat bagi membolehkan ia mencukupi sekali pusat-pusat tahfiz ini dapat menyusun sistem pendidikan yang baik dan mendapatkan guru-guru yang berwibawa bagi membimbing pelajarnya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Rohidzir dalam pada itu menambah, tidak dapat dinafikan, adanya lebih banyak pusat tahfiz juga sesuatu yang positif iaitu menunjukkan tahap kesedaran masyarakat Islam terhadap ilmu al-Quran bertambah meningkat.
Perkembangan itu, jelasnya didorong oleh permintaan ibu bapa yang semakin ramai mahu anak mereka belajar di pusat tahfiz, sama ada di bawah kelolaan kerajaan, swasta atau milik individu.
“Tentunya tanpa pusat-pusat tahfiz swasta yang ditubuhkan hasil biaya sendiri, permintaan yang meningkat dalam kalangan masyarakat tersebut tidak dapat dipenuhi terutama jika semata-mata mengharapkan peranan kerajaan.
“Bagaimanapun, sekali lagi, pusat-pusat tahfiz ini kebanyakannya tersepit untuk mendapatkan dana. Oleh itu, tiba waktunya tumpuan diberikan dengan menambah baik sistem dan kerajaan membantu memberikan kursus pengurusan kepada pengusaha tahfiz dan latihan kepada guru-guru sedia ada,” katanya.
Kerjasama kedua-dua pihak perlu diperkasakan demi kepentingan pendidikan Islam di negara ini sekali gus melahirkan anak yang bijak dalam bidang agama, tambahnya lagi.
Rohidzir Rais
» Umur: 47
» Asal: Pulau Pinang
» Jawatan: Mudir dan Pengasas Sekolah Islam Nur Al-Azhar (Sinar) Port Dickson.
» Latar belakang pendidikan:
Pondok Pasir Tumboh, Kelantan
Ma’hadul-Azhar Pokok Sena, Pulau Pinang.
Universiti Al-Azhar, Mesir (Syariah Islamiah)