KEBELAKANGAN ini terus hangat diperkatakan mengenai isu penghinaan terhadap Islam yang dilakukan secara terbuka khususnya di media sosial sehingga mengundang ketidakselesaan dalam kalangan umat Islam.
Situasi ini semakin membimbangkan dan perlu diberikan perhatian serius oleh pihak bertanggungjawab atau pemerintah.
Mudir Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Ustaz Muhammad Rohim Kamis berkata, penghinaan terhadap Islam adalah perkara serius yang perlu segera dibanteras kerajaan.
Katanya, walaupun perbuatan itu hanya gurauan, namun perlu dipertegaskan setiap gurauan mempunyai batasannya.
“Gurauan pada asalnya adalah dibenarkan kerana ia sebahagian daripada kehidupan seperti mana firman Allah dalam al-Quran yang menyatakan dunia ini tempat mainan dan senda gurau. Namun dalam Islam, ada tiga benda yang tidak boleh bergurau iaitu berkenaan nikah, cerai dan keluar Islam atau murtad.
“Contoh, jika bergurau mengatakan dia keluar Islam, dia perlu bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah semula,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Padang Siding, Arau, Perlis baru-baru ini.
Tambahnya, isu akidah tidak boleh dibuat main kerana itu adalah batasan dalam agama. Sebagaimana yang tersebar baru-baru ini mengenai gurauan individu menghina agama ia disebabkan tiga perkara iaitu jahil, sakit zahir dan batin serta tidak tertegak undang-undang Islam di negara ini.
“Apabila jahil atau kurangnya ilmu dalam Islam itu sendiri, dia akan menganggap agama itu musuhnya dan akan berlaku serangan atau hinaan kepada agama. Faktor kedua, sakit zahir dan batin seperti masalah mental manakala hati pula tidak ikhlas dalam melaksanakan ajaran Islam.
“Faktor ketiga, masalah undang-undang Islam tidak dikuatkuasakan dengan baik sehingga ada yang berani mempermainkan agama Islam,” jelasnya.
Muhammad Rohim yang juga Pengerusi Persatuan Madrasah dan Tahfiz Malaysia Perlis berkata, bagi mengatasi masalah itu, umat Islam perlu mendalami ilmu tauhid, fekah dan tasawuf.
Katanya, ketiga-tiga ilmu ini perlu selari dan tasawuf iaitu ilmu hati perlu ada bagi merasai kewujudan Allah SWT dalam hati seterusnya membuatkan diri patuh pada perintah-Nya serta meninggalkan apa yang dilarang.
“Dalam rukun kehidupan, kita perlu menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, nasab dan akhir sekali menjaga harta. Untuk menjaga agama, pemerintah harus sentiasa berganding bahu dengan ulama dan meminta nasihat mereka selain kurangkan pertelingkahan melibatkan khilafiyah, politik dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, tiga langkah boleh dilakukan umat Islam untuk mencegah perbuatan mungkar daripada terus berlaku iaitu memperbetulkannya menggunakan kekuasaan dan di sini kerajaan perlu memainkan peranan.
“Perkara kedua, masyarakat boleh menegur menggunakan lisan atau penulisan sekiranya tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang. Perkara ketiga pula , masyarakat menolak perkara mungkar dengan hati mereka dan berdoa agar individu terbabit diberi hidayah,” jelasnya.
Beliau juga menyeru umat Islam sentiasa beristighfar dan berselawat bagi membantu hati merasa lebih dekat dengan Allah SWT selain sentiasa berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah.
Muhammad Rohim Kamis
» Umur: 33 tahun
» Pendidikan: -Madrasah Ibtida’i Addiniah, Padang Siding, Perlis
Pondok al Zuhdiyah, Parit Panjang, Kedah
Maahad Buus Al Azhar, Kaherah, Mesir
Tahfiz Al Ittisom, Shah Alam, Selangor
Syahadah al-Quran, Madrasatul Quran, Kubang Bujuk, Terengganu
» Tugasan hakiki: Mudir Maahad Tahfiz al-Hikmah dan Pengerusi Persatuan Madrasah dan Tahfiz Malaysia Cawangan Perlis