Jejak Ulama: Dulu kalau tak mengaji kena hambat rotan

Jejak Ulama: Dulu kalau tak mengaji kena hambat rotan

jejak ulama
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEKALKAN pendidikan agama dalam Pengajian Islam di bidang Syariah dari Universiti Malaya (UM), Ahmad Napiah, 70, tekad berkongsi ilmu agama bersama masyarakat di Bagan Serai. Itu latar belakang tokoh Jejak Ulama kali ini.

Pesara Jabatan Kastam itu kini aktif mengajar ilmu agama melalui ceramah, pengajian kitab dan paling menjadi keutamaan bagi beliau kelas bimbingan dan al-Quran di masjid dan surau di sekitar Bagan Serai.

Ahmad ialah Timbalan Pengerusi Masjid Permaisuri Tuanku Hajah Haminah (MPTHH) Bagan Serai dan juga imam di masjid itu membuat keputusan kembali ke kampung halamannya di Matang Jelutong, Bagan Serai setelah bersara dan tekad berkongsi ilmu agama terutama membaca al-Quran.

Beliau memberi penekanan dalam aspek pembacaan al-Quran kepada segenap peringkat lapisan Islam dan mahu mereka sedar pentingnya ilmu agama untuk dipelajari, khususnya membaca al-Quran dengan sebutan tepat dan bacaan yang betul.

“Saya bimbang keadaan generasi hari ini khususnya golongan muda yang semakin menjauh dari agama. “Dengan masa dan usia masih ada, saya mahu gunakan untuk mengajar dan menyampaikan ilmu agama yang saya pelajari kepada masyarakat setempat agar mereka tidak lalai dalam mempelajari agama dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, beliau amat menekankan soal pembacaan al-Quran setiap kali menyampaikan ceramah di surau dan masjid yang menjemputnya. Ini kerana ramai golongan muda lelaki dan wanita yang beragama Islam namun buta membaca al-Quran.

“Ada segelintir dalam kalangan mereka juga tidak mampu membaca surah lazim yang biasanya dibaca dalam solat. Buta al-Quran yang berlaku tanpa sedar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini amat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad sering menekankan agar ibu bapa sentiasa menyuruh anak-anak mereka belajar al -Quran pada setiap kali mengadakan ceramah agama.

Katanya, suasana ketika ini berbeza berbanding ketika zaman muda beliau yang mana masyarakat memberi penekanan aspek mempelajari dan membaca al-Quran.

“Rata-rata ibu bapa dahulu termasuk arwah orang tua saya amat menitikberatkan pembelajaran al-Quran, kalau tak pergi mengaji, jawabnya kena hambat dengan rotan,” katanya.

Jelasnya, membaca al-Quran dengan betul penting kerana ia rukun wajib dalam solat terutamanya bacaan al-Fatihah. Jika gagal membaca al-Fatihah dengan tertib dan aksara sebutan yang salah, maka solat akan rosak.

“Lebih membimbangkan sekiranya ada generasi muda atau dewasa yang langsung tidak tahu membaca al-Fatihah dengan tertib dan betul,” katanya.

Beliau seterusnya menyarankan golongan muda terutama remaja supaya belajar al-Quran di tempat-tempat yang terdapat di kawasan masing -masing.

Katanya, selain pusat belajar al-Quran yang dibuka oleh pihak swasta, masjid kariah sendiri sudah tentu ada pengajaran membaca al-Quran.

“Rebutlah peluang belajar al-Quran terutamanya generasi muda lelaki kerana mereka ini bakal pemimpin pada masa depan dan tentunya akan menjadi ketua keluarga,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Biro Dakwah MPTHH berkata, keadaan buta al-Quran dalam kalangan masyarakat turut dibangkitkan oleh ahli jawatankuasa masjid dan ahli kariah dalam Mesyuarat Agung Tahunan MPTHH baru-baru ini.

Katanya, sebagai salah seorang imam dan Ketua Biro Dakwah di masjid itu, sudah tentu keadaan itu menyebabkan beliau bimbang dan sedih.

“Kami pernah memutuskan untuk mewujudkan kelas membaca al-Quran di masjid ini tanpa peringkat umur.

“Namun perkara itu tidak dapat dilaksanakan kerana Covid-19 pada 2020 namun rancangan itu akan diteruskan setelah keadaan reda sekarang,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya