Jejak Ulama: Ramadan didik manusia berjimat

Jejak Ulama: Ramadan didik manusia berjimat

jejak ulama
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN bulan puasa sering dikaitkan dengan lapar dan dahaga, namun seseorang mukmin tidak sewajarnya menjadikan Ramadan sebagai bulan membeli makanan dan minuman untuk berbuka secara berlebihan.

Falsafah ibadat puasa adalah untuk mendidik kita supaya sentiasa hidup dalam kesederhanaan dan menjauhi amalan membazir pada bulan yang mulia ini.

Namun, menurut Mudir Madrasah Al Ulum Ad Diniah Al Usmaniah, Pondok Tanjung Kapur, Jitra, Kedah, Ustaz Sabri Osman, kebanyakan umat Islam di negara ini gembira menyambut Ramadan kerana menganggapnya sebagai bulan pesta makanan.

Apabila nafsu makan mengatasi amalan berpuasa, katanya, keghairahan tersebut menyebabkan terdapat dalam kalangan umat Islam tergelincir daripada syariat yang dipandu oleh al-Quran dan hadis.

“Sepatutnya umat Islam perlu mengambil peluang keemasan pada bulan mulia ini untuk meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT dengan ikhlas dan sepenuh hati.

“Bukannya bermewah dengan membeli pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Sekolah Pondok Kedah berkata, umat Islam juga dinasihatkan supaya tidak memenuhi bulan mulia dengan berbelanja secara berlebihan yang mengakibatkan pembaziran.

Jelasnya, dalam al-Quran, surah Al–Isra ayat 27 Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Tambahnya, ayat ini begitu jelas menunjukkan pembaziran adalah perbuatan yang wajib dijauhi, malah atas asas inilah ulama menjatuhkan hukum haram bagi sebarang bentuk pembaziran.

“Kalau diikutkan nafsu, memang kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai juadah lebih-lebih lagi yang berwarna-warni, selain makanan atau minuman yang menjadi viral dalam laman sosial.

“Tidak salah membeli, tetapi jangan berlebihan yang akhirnya makanan itu akan dibuang begitu saja,” katanya.

Sebaliknya, menurut Ustaz Sabri, umat Islam perlu menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW yang mengajar mengenai kesederhanaan, termasuk berbuka puasa dengan tiga biji kurma dan tidak makan serta minum sehingga terlalu kenyang.

“Semasa berbuka puasa umat Islam tidak digalakkan makan sehingga terlalu kenyang kerana akan menjejaskan seseorang itu melakukan amal ibadah seperti solat Isyak dan Tarawih. Malah apabila makan terlalu kenyang menyebabkan seseorang itu akan merasa malas.

“Dalam soal makan pun, Rasulullah mengajar umatnya makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang yang jelas membawa maksud bersederhana dalam mengambil makanan kerana ia juga ada faedah dalam konteks kesihatan,” jelasnya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya