SIHIR adalah ilmu berkaitan perbuatan halus melalui pertolongan makhluk ghaib sama ada syaitan atau jin yang lebih berfokus kepada perbuatan untuk menyakiti, memudaratkan atau mengelirukan manusia.
Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughni mengupas sihir sebagai ikatan halus, jampi dan perkataan yang diucapkan, ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir termasuk kesengsaraan hati dan akal seseorang tanpa menyentuh jasad secara langsung.
Mudir Madrasah Ribat al-Musthofa, Machang, Ustaz Muhaizad Muhammad berkata, ia bersifat mistik yang sukar ditafsirkan dengan formula Sains dan logik akal namun amalan sihir ini sudah wujud sejak Nabi Allah Sulaiman lagi hinggalah ke zaman alaf baharu yang berteknologi tinggi.
Menurutnya, banyak peristiwa yang memaparkan tentang penangan ilmu sihir termasuk menggunakan susuk dan jampi serapah untuk kelihatan cantik, menggunakan ilmu hitam untuk memisahkan suami isteri, ilmu pukau dan santau untuk menganiaya orang lain selain mendatangkan penyakit mental dan fizikal kepada mangsa.
“Nabi Muhammad SAW sendiri pun yang maksum daripada melakukan dosa, Allah uji dengan sihir yang dihantar oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq. Peristiwa ini berlaku ketika Nabi SAW balik dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun tujuh hijriah. Setelah selesai perang Khaibar maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu seorang tukang sihir Yahudi yang terkenal dalam kalangan mereka Labid bin Aksam, bertujuan untuk melakukan sihir ke atas Nabi SAW.
“Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka mencuri sikat rambut Nabi SAW bersama rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.Tidak cukup dengan ejekan, fitnah, peperangan mereka menggunakan sihir,” ujarnya.
Muhaizad berkata, tukang sihir membuat patung berupa Nabi SAW daripada lilin, lalu ditikam dengan 11 bilah jarum dan disimpul dengan 11 ikatan. Maka dicampakkan ke dalam telaga keluarga Zarwan di mana telaga Nabi SAW selalu mandi.
“Baginda terkena sihir selama 40 hari sehinggalah perbuatan jahat itu berjaya dikesan dan ditemui barangan sihir. Dengan sirah yang diceritakan boleh menjadi panduan kepada umat Islam untuk mengubati sihir itu hanya dengan doa dan ayat-ayat al-Quran.
“Pada masa kini, perbuatan seumpama itu lebih popular disebut ilmu ‘tuju’ atau lebih tepat santau yang masih dilakukan dalam arus modenisasi dengan tujuan menyakiti seseorang yang berlandaskan sifat jahat, marah dan dengki,” katanya.
Menurut Muhaizad, ilmu sihir yang dituju kepada seseorang dilakukan menerusi pelbagai pendekatan sama ada menggunakan gambar mangsa, kuku, rambut dan sebagainya. Justeru, jangan terlalu ghairah memuat naik gambar dalam media sosial khususnya wanita yang gemar memperagakan kecantikan mereka tanpa mengetahui musibah yang mungkin berlaku.
Menurutnya, hukum perbuatan sihir dalam Islam adalah berdosa besar.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
USTAZ MUHAIZAD MUHAMMAD AL-YAMANI- MINGGUAN MALAYSIA
Asal: Kampung Kem Kijang, Pantai Cahaya Bulan
Umur: 39 tahun
Latar Belakang Pendidikan: Pondok Pengajian Islam Pasir Tumbuh; Maahad Muhammadi, Kota Bharu; Maahad Tahfiz Repek, Pasir Mas; Darul Ta’lim Addini Pondok Moden Bachok
Menyambung pengajian luar negara: Pusat Pengajian al-Mustofa Tarim, Hadramaut, Yaman.
Aktiviti: Penyampai dakwah menerusi ceramah seluruh Kelantan.
YouTube: Saluran Mahabbah Rasul TV
Facebook: ustazmuhaizad