Cabaran lambakan dakwah alam siber

Cabaran lambakan dakwah alam siber

dakwah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN serangan berdarah di Perancis bulan lalu tanpa disedari umat Islam, mungkin hasil salah faham konsep dakwah dek ‘berguru’ di media sosial dan laman sesawang songsang.

Ironi, lambakan maklumat tidak terkawal di alam maya tanpa bimbingan asatizah bertauliah, amat digemari generasi muda Muslim yang ‘malas’ bersusah payah cari ilmu daripada sumber sahih.

Inilah antara cabaran daie pada masa kini yang menurut pendakwah muda, Nushi Mahfodz, dibimbangi menjerumuskan Muslim kepada kesesatan hatta ditakuti mencemarkan imej Islam.

Dilahirkan di Scotland, Britain lebih 45 tahun lalu, beliau yang mula aktif berceramah di sekitar Lembah Klang awal usia 20-an; juga khuatir ada berani buat andaian sendiri berasaskan logik.

“Maklumlah, akses internet mudah dicapai di mana sahaja pada bila-bila masa, tetapi paling saya takut apabila remaja Islam baca informasi yang dipengaruhi ‘lencong’ akidah,” kata beliau.

Hasilnya, tambah Nushi, kelompok netizen yang asalnya mencari kebenaran itu terperangkap dengan ‘racun’ fahaman liberalisme, sekularisme atau pluralisme disampaikan sangat halus.

Lebih dibimbangi lagi, laman siber yang ‘bertopengkan’ Islam itu pula diminati golongan muda Muslim kononnya menepati selera, walhal kandungannya jelas salah dari segi ajaran syarak.

“Apabila ada pendakwah berani tampil bersuara tegas cuba bawa pandangan sebenar, dia jadi mangsa sasaran dengan ditohmah sebagai jumud, kolot atau tidak terbuka,” luah beliau.

Dalam nada agak kesal, Nushi berkata, jika ada ‘ustaz sesat’ keluar hujah yang sebaliknya, dia diangkat sebagai ulama progresif dan dianggap berfikiran moden atau toleransi beragama.

Hakikatnya, bidang dakwah di seluruh dunia memerlukan ramai daie yang mahir dan celik teknologi komunikasi maklumat untuk berani jadi ‘askar siber’ bagi tangkis fahaman salah itu.

“Umat Islam amat memerlukan pendakwah gigih sebegini untuk berperanan mengharmonikan ‘serangan’ kepelbagaian idea global yang sukar dibendung daripada musuh Allah,” katanya.

Gerakan itu jelas Nushi, dilihat cukup bijak berselindung malah kreatif di sebalik gagasan kebebasan bersuara ala-Barat, padahal mereka cuba menyesatkan minda komuniti Muslim.

Justeru, beliau berpendapat, ada hikmah kenapa gempar peristiwa hitam di Perancis apabila umat Islam boleh bersatu bela Rasulullah SAW waima berpecah belah aneka ideologi siasah.

“Mungkin ada mesej tersirat daripada Allah SWT agar penganut Islam tidak lagi leka dengan bangkit pertahan maruah agama termasuk melalui medium teknologi canggih,” kata Nushi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya