Indiana Jones and the Dial of Destiny: Terima kasih Ford

Indiana Jones and the Dial of Destiny: Terima kasih Ford

Indiana Jones
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK filem Indiana Jones hadir dengan debut pertamanya pada 1981 menerusi Raiders of the Lost Ark, jenamanya kekal ikonik sebagai sebuah filem pengembaraan dalam latar sejarah dan arkeologi.

Dalam tempoh 42 tahun ini, francais Indiana Jones sudah menjangkau lima filem, termasuklah naskhah terbaharunya Dial of Destiny. Takjub melihat Harrison Ford yang sudah mencecah umur 80 tahun masih lagi mengambil peranan sebagai Indy.

Filem ini dibuka dengan aksi jungkir balik di dalam kereta api semasa perang dunia kedua. Lebih tepat semasa peperangan Nazi pada 1944.

Saya tidak tahu teknik komputer apa yang digunakan produksi, namun Ford benar-benar kelihatan 35 tahun lebih muda. Seolah-olah babak itu dirakam 30 tahun lebih awal untuk filem kelima ini.

Dalam babak itu, Indy merampas sebuah artifak penting yang berada dalam genggaman warga German iaitu Antikythera, sejenis alat yang dikatakan boleh mengawal ruang dan masa. Ketika pergaduhan itu, alat tersebut terbelah dua.

Hasil carian mendapati rupanya Antikythera memang benar-benar wujud. Ia merupakan sebuah artifak yang berasal dari Yunani.

Ia ditemui pada 1901 di sebuah kapal karam dan diiktiraf sebagai komputer analog paling tua di dunia yang digunakan untuk meramal gerhana dan peristiwa berkaitan astronomi. Indiana Jones bermain dalam kerangka fiksi dan fakta.

Dalam Dial of Destiny, mereka perlu menghancurkan atau mendapatkan kembali Antikythera sebelum ia jatuh ke tangan musuh bernama Jürgen Voller.

HIDUP BERMULA KETIKA KITA SANGKA SUDAH BERAKHIR

Kini masa sudah berlalu dan Indy semakin tua. Dia seorang profesor di sebuah universiti yang jarang sekali disukai anak muridnya. Sejak kehilangan anak dan isteri, Indy hidup seperti seorang tua yang membosankan.

Hidupnya melesukan seperti yang digambar visual dari cara berpakaian, caranya bertutur dan caranya berjalan. Indy betul, ada banyak yang boleh kita tafsirkan daripada gaya seseorang berjalan.

Dari seorang pengembara yang hidup penuh warna-warni, Indy bertukar menjadi seseorang tua yang hanya menunggu mati.

Di akhir perkhidmatannya di universiti tiba-tiba hadir Helena Shaw iaitu karakter baharu yang dibawakan Phoebe Waller-Bridge.

Helena yang juga merupakan anak angkat kepada Indy menyalakan semula api di dalam dadanya yang malap. Mereka berpetualang mendapatkan kembali Antikythera.

AKSI, HUMOR MENJADI

Namun, saya berpendapat gandingan Helena yang sangat nakal, berambut pendek dan keras kepala dengan Indy, seorang tua yang kuat membebel sangat menjadi.

Masing-masing ada sahaja yang digaduhkan. Namun seperti ayah dan anak, mereka sangat setia dan melindungi antara satu sama lain.

Jika tiada Helena dalam Dial of Destiny, atau watak Helena adalah seorang heroin yang penurut dan feminin, jentikan humor di dalam filem ini mungkin tidak akan begitu menjadi.

Pujian harus diberikan kepada pasukan penulis lakon layar iaitu James Mangold selaku pengarah, Jez Butterworth, David Koepp dan John-Henry Butterworth kerana mencipta deretan babak aksi yang tidak henti-henti dari tuk-tuk ke dalam air, di atas kapal, di dalam gua sehinggalah ke udara. Semuanya padat debaran.

Cuma adakalanya aksinya terlalu panjang sehingga penonton berasa penat menunggu bagaimana Antikythera berfungsi.

Selain itu, pujian juga harus dipanjangkan kepada susunan skor muzik di dalam filem ini. Muzik yang ditampilkan sangat ikonik dan identik. Cukup megah mengiringi babak cemas dan mengujakan sepanjang filem ini.

Pendek kata, Dial of Destiny adalah sebuah filem yang berjaya dan mempesona. Cukup bersejarah untuk dikenang sebagai filem akhir lakonan Harrison Ford sebagai Indy buat yang terakhir kali. –MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya