TIDAK hanya industri hiburan Korea Selatan, Jepun dan China yang menjadi mendominasi lanskap hiburan di negara Asia. Malah, negara Taiwan turut dilihat semakin mencuri tumpuan baik dari filem dan muzik. Dari aspek lagu, mereka menghasilkan bunyi dengan gabungan tradisional dan moden.
Penyanyi dari Taiwan mula mencipta populariti sejak 1980-an sehingga 1990-an. Mereka telah mencatat jualan album yang sangat membanggakan dan mula menyanyikan lagu runut bunyi naskhah hit negara itu.
Dengan adanya media sosial, mereka lebih mudah untuk berkolaborasi dan lagu mereka lebih mudah menemui pendengar. Berikut kami senaraikan antara penyanyi dari negara itu yang telah mencipta populariti hingga ke peringkat global.
Jay Chou
Sehingga kini populariti Jay Chou masih berada di tangga paling atas kerana menjadi satu-satunya artis negara itu yang berjaya menjual 30 juta keping album. Jay bukan hanya penyanyi malah komposer, penulis lirik dan pelakon yang digilai. Lagu-lagu Jay mula menembusi pelbagai negara menerusi album Fantasy pada 2001.
Terbaharu, Jay Chou mengumumkan konsert terbaharunya ‘Carnival World Tour’ yang bakal diadakan pada 26 Oktober tahun ini. Namun begitu, tiket konsert yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu habis terjual dalam tempoh beberapa jam.
Teresa Teng
Walaupun sudah meninggal dunia, tapi Teresa semasa hayatnya adalah artis Taiwan yang sangat popular sehingga diberi gelaran ‘Ratu Pop Asia’ pada tahun 90-an. Sepanjang bergelar penyanyi sepanjang 30 tahun, Teresa mencuri tumpuan kerana mempunyai suara merdu menyanyikan lagu balada. Pada usia 14 tahun, dia sudah pun merakam lagu pelbagai bahasa seperti Mandarin, Hokkien, English, Itali, Jepun dan Indonesia.
Pada 1995, Teresa menggemparkan asia apabila disahkan meningal dunia kerana serangan asma.
A-Mei
Digelar ‘Kebanggaan Taiwan’, A-Mei berjaya menjual lebih 50 juta keping album sekali gus menjadikannya artis solo perempuan paling berjaya di negara itu. Bukan itu sahaja A-Mei juga dilihat lantang menyuarakan hak golongan LGBT dan hak kesamarataan jantina. Pada 2011, temu bual eksklusif A-Mei yang memberi fokus kepada pengalamannya menjadi pelajar di Amerika Syarikat. Rancangan itu kemudian disiarkan di 23 buah negara dan mencatat 67 juta tontonan.
Jolin Tsai
Merupakan penyanyi, penulis lagu dan pelakon Taiwan. Mendapat panggilan ‘Puteri C-pop’ kerana kehadirannya sangat popular dalam kalangan peminat negara yang mempunyai masyarakat yang bertutur dalam bahasa Cina di dunia. Jolin berjaya menjual 25 juta keping album. Sejak tahun 2010, dia disenaraikan sebagai selebriti ke-20 paling berpengaruh di China oleh Forbes.
Wu Bai
Penyanyi Taiwan lain yang berpengaruh di Taiwan ialah Wu Bai, yang digelar ‘Bon Jovi Taiwan. Wu Bai membawa aura dan fenomena rock baru di negara itu dengan penampilan rambut panjang dan beralun. Semasa persembahan, dia diingati dengan penampilan ikonik bersama band China Blue yang membawa muzik gitar Sonic ke dalam lagu.