Genap 45 tahun Bintang antarabangsa, Elvis presley meninggalkan peminatnya. Mendiang menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 42 tahun.
presley, beberapa minggu sebelum kematiannya, sempat membuat persembahan di hadapan 18,000 penonton yang hadir pada konsert terakhirnya di Indianapolis, Amerika Syarikat.
Lagu terakhir yang dinyanyikan pada konsert tersebut adalah Can’t Help Falling In Love.
Bagaimanapun, lagu tersebut bukanlah lagu terakhir dinyanyikan penyanyi kesayangan ramai itu.
Presley, pada hari kematiannya, sempat menyanyikan dua buah lagu dalam sesi tertutup yang disaksikan saudaranya yang juga ahli kumpulan Memphis Mafia, Billy Smith.
Elvis meninggal dunia pada 16 Ogos 1977 sekitar waktu tengah hari di kediamannya di Graceland, Memphis, Tennessee.
Pada malam sebelum hari kejadian, Elvis menghubungi Smith, mempelawa dia dan isterinya, Jo ke kediamannya untuk bermain racquetball bersama teman wanitanya Ginger Alden.
Smith menerusi saluran Youtube Memphis Mafia Kid, menceritakan presley mengalami kecederaan betis ketika bermain sukan tersebut. Justeru mereka berdua meninggalkan Jo dan Ginger yang meneruskan permainan.
Ketika berada di ruang tamu, presley mendekati piano kesayangannya dan mempersembahkan dua buah lagu di hadapan Smith. Persembahan tersebut. merupakan yang terkahir daripada bintang rock dunia itu.
Dua lagu terakhir yang dinyanyikan presley adalah Blue Eyes Crying In The Rain yang dimuatkan dalam album From Elvis presley Boulevard, Memphis Tennessee dan Unchained Melody daripada album Moody Blue.
Selepas menyanyikan dua lagu terakhir dan puas bermain racquetball, kesemua mereka kembali ke kediaman Elvis sekitar pukul 6.15 pagi.
Smith dan Jo tidak tahu bahawa ucapan selamat tinggal mereka kepada presley pada pagi itu adalah yang terakhir untuk penyanyi tersebut.
Mengenang momen tersebut, Smith dan Jo mengimbau perkataan terakhir diungkapkan presley sebelum kematiannya.
“Saya sayang kamu, selamat malam. Kita ada perkara yang besar untuk dilakukan,” katanya kepada pasangan itu sebelum mereka beransur pulang sekitar pukul tujuh pagi.
Pada pukul 1.30 petang, Ginger yang baru bangun tidur menyedari Elvis tidak berada di tempat tidurnya, sebaliknya berada di bilik mandi membawa sebuah buku bersamanya.
Ginger sempat mengingatkan Elvis agar tidak tertidur di bilik mandi sebelum Elvis membalas dengan perkataan terakhirnya “saya tidak akan tidur di sini”.
Beberapa jam kemudian, Ginger yang terbangun dari tidur terkejut apabila mendapati Elvis terbaring tidak bernyawa selepas mengalami serangan jantung.