‘Saya bukan lagi Neelofa yang dahulu’ - Utusan Malaysia

‘Saya bukan lagi Neelofa yang dahulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik semua kerenah dan dalam pujian serta benci orang pada dirinya, apakah jawapan paling tepat untuk mendiamkan ‘gempita’ suara asing yang tidak pernah berhenti ‘berkicau’ di media sosial?
Sejak mengenal dunia seni hiburan, dari zaman solo, berpasangan dan kini sudah mempunyai anak, Neelofa tidak pernah sunyi daripada perhatian orang, meskipun ada ketikanya, dia tidak menginginkan semua itu berlaku.
Pun begitu, satu yang pasti, wanita ini sedang berusaha menjadi insan yang lebih baik, perlahan-lahan meninggalkan dirinya yang dahulu walaupun sedar, untuk melakukan perubahan, ia menuntut pengorbanan besar.
“Betul, memang berat dan tidak mudah. Kalaulah nak jadi insan yang baik itu senang, ramailah orang masuk syurga. Kalau sembahyang lima waktu itu mudah dengan sekali petik jari sahaja, maka semua orang boleh jadi soleh dan solehah.
“Itulah sebab dalam usaha berbuat kebaikan, kita kena bermujahadah, ada pengorbanan dan susah payahnya. Ia sebenarnya menuntut seseorang untuk faham apa matlamat dalam hidup dan apa ganjaran yang akan dia dapat di akhirat.
“Jika seseorang itu faham, dia akan sanggup lalui kesusahan dan cabaran untuk ‘sampai’ ke sasaran di akhirat nanti,” katanya.
Pun begitu, kata Neelofa, kebaikan yang dilakukan, tidak bermakna dia boleh tersenyum bangga dan berkata ‘aku sudah cukup sempurna’.
Menganggap masih jauh perjalanan hidup dan banyak lagi yang perlu dipelajari, Neelofa enggan ada pihak tersalah erti.
“Sempurna? Tidaklah. Kita cuma manusia biasa, pasti ada kekurangan di mana-mana. Tetapi, kalau nak dibandingkan dengan waktu solo dulu, saya akui, lebih suka kehidupan sekarang.
“Saya tidak lagi sesibuk dahulu, sudah ada suami dan anak. Bahagia saya dengan cara menghirup seberapa banyak ketenangan yang ada sambil berusaha untuk berkata cukup.
“Memiliki hati yang penuh juga satu rezeki kurniaan Allah SWT,” katanya.
Bekas pengacara MeleTop ini mengakui, tidak mudah sebenarnya untuk menjadi seorang isteri dan ibu, walaupun ramai mungkin fikir, Neelofa sudah lalui macam-macam pancaroba sebelum ini. Maka apalah sangat kalau nak jaga suami dan anak. Bukankah dia wanita kental? Iron lady!
Dalam kerendahan hati dia menyusun kata bahawa dirinya juga insan yang memiliki kelemahan. Malah katanya, tidak semua perkara yang dilakukannya pasti betul.
“Contohnya dalam hal rumah tangga. Kita sebagai suami isteri pasti ada rasa tidak puas hati, akan ada pertikaian pendapat dan itu adalah situasi yang normal. Kita akan cuba muhasabah diri semula dan di situ, kita akan bertanya semula, apakah yang dilakukan itu betul atau salah?
“Proses perbaiki diri itu kena berterusan. Kalaulah saya tetap berkeras, ikutkan sahaja akal dan kemahuan diri kononnya ‘asalkan aku gembira’, sampai ke sudah tidak akan ada titik pertemuan di tengah-tengah dengan suami. Kalau begitulah, macam mana mahu capai keharmonian rumah tangga bukan?” katanya.
Kongsi Neelofa, sebenarnya banyak titik perubahan berlaku selepas dia berkahwin dan dikurniakan Muhammad Bilal. Dia banyak mengenal diri dan bertoleransi dalam apa jua aspek.
“Rasanya, saya sekarang lebih pandai bertoleransi, cuba menjaga hati orang dan masih belajar

untuk menjalankan tanggungjawab serta mentaati suami dengan baik. Seiring perjalanan itu, tentulah ada perkara yang saya kena korbankan.“Kemahuan, nafsu. Ia bukan mudah. Orang kata, alahai…senang saja nak jadi isteri solehah. Awak kena taat suami. Tapi, taat itu bagaimana? Ia sangat mencabar. Betul ke boleh dengar cakap dia dari A sampai Z? Boleh ke setuju dengan semua kehendak dia? Tidak kan?
“Tetapi, harus saya beritahu, dalam usaha mentaati itulah saya rasakan banyak pembelajaran dan pembentukan diri berlaku,” katanya.

Buang sikap dahulu

Bagi yang mengenali Neelofa, mungkin melihat dirinya sebagai seorang wanita kuat yang kalis dengan segala peluru caci nista.
Apa lagi dalam mengemudi sebuah empayar jenama yang gah. Sikap sebagai pemimpin yang tegas dan berani cukup sinonim dengan dirinya.
Namun, apakah benar setelah kehadiran suami, Haris Ismail, di sisi, Neelofa kini sudah tidak lagi begitu bertaring seperti dulu? Satu perkara ketara yang dapat dilihat ramai.
Tidak menolak, akui Neelofa, Haris adalah antara individu terdekat yang membentuk dan

mu menegur, walaupun berkali-kali saya buat kesalahan yang sama. menjadikan siapa dirinya sekarang.
“Lady Boss? Dah berkurang dah…Saya pun tak bekerja sekuat dulu. Cuma, sesekali itu adalah menyarung ‘topi’ sebagai seorang pemimpin bila perlu. Saya banyak serah tugas pada Haris untuk hal-hal kerja di luar, contohnya mesyuarat. Cuma, satu saya nak cakap, saya sudah tidak lagi macam dulu.
“Haris memang banyak ubah saya. Nampak sahaja dia begitu, tetapi sekecil-kecil benda pun dia sangat teliti. Contoh, cara saya duduk depan dia, cara saya jawab mesej di telefon. Kalau tak kena, dia akan tegur.
“Dia sangat pentingkan adab dan akhlak yang baik. Kebanyakan masa memang dia selalu tegur saya. Apa yang saya kagum adalah dia tak je
“Kalau kita, memang penat nak tegur orang bukan (ketawa).Saya akui, bila sudah berusia 30-an ini, nak ubah cara memang susah. Jadi, bila selalu kena tegur lama-lama melekatlah dalam minda ini,” katanya.

Definisi kegembiraan

Mengakui bahagia itu terlalu subjektif untuk dicanangkan, namun bagi dirinya, ketenangan yang dirasakan kini juga merupakan hadiah daripada Tuhan yang tidak ternilai.
Malah, bukan berniat sombong, kata Neelofa, dia banyak belajar erti kesyukuran dari setiap sudut. Suaminya juga tidak pernah lelah memberi nasihat yang baik.
“Pernah sahaja saya katakan dalam program Next To Neelofa sebelum ini bahawa Haris banyak mengajar saya dari aspek itu. Berkali-kali dia ingatkan saya supaya sentiasa bersyukur.
“Saya akui, kadang-kadang saya ada terlepas pandang, contohnya layanan terhafap peminat, ketika bersama khalayak atau dapat rezeki dari sudut bisnes misalnya. Haris yang selalu tekankan dan ingatkan.
“Katanya, saya kena banyak bersyukur sebab apa yang Allah SWT berikan, tidak semua orang dapat peluang yang sama. Malah, kalau saya kata sedang stres atau sedih, dia akan lembut beritahu, mungkin saya bersedih kerana tidak cukup bersyukur dengan apa yang ada.
“Haris tahu saya bagaimana. Jadi, dia tidak akan berkeras atau memaksa. Ada juga ruang kebebasan dan tidaklah saya merasakan stres atau anggap tidak boleh jadi diri sendiri. Di situlah manisnya,” katanya. – PANCAINDERA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya