Ekor Duyung Aurora disamakan dengan kulit buah salak? - Utusan Malaysia

Ekor Duyung Aurora disamakan dengan kulit buah salak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tak tahu hendak tergelak atau mahu mengalirkan air mata apabila Cik Bunga terbaca komen-komen warganet yang tidak berpuas hati dengan teaser atau iklan acah kostum duyung untuk filem terbaharu filem terbitan KRU Films dengan kerjasama Grand Brilliance dan Lineclear Motion Pictures.

Semuanya kerana ada yang perasan terdapat satu hantaran video di TikTok milik seorang pereka fesyen, Azzim Aziz yang merakamkan penghasilan kostum ekor ikan duyung dipercayai untuk digunakan pelakon filem Duyung Aurora.

Meskipun tidak menulis ekor ikan duyung tersebut akan disarungkan oleh pelakon yang mana, ramai kalangan warganet percaya bahawa ia akan digunakan oleh Anna Jobling yang memegang watak Puteri Aurora dalam filem berkenaan.

Malah, latar lagu yang digunakan pereka fesyen berkenaan juga merupakan runut bunyi filem Duyung, Aspalela, yang dinyanyikan oleh Saiful Apek sekali gus menguatkan lagi keyakinan warganet bahawa ekor ikan duyung tersebut adalah untuk pelakon filem berkenaan.

Bagaimanapun, berbanding pujian, rata-rata peminat filem tersebut nampaknya tidak berpuas hati dengan hasil kostum pereka berkenaan yang dikatakan kurang menarik berbanding kostum yang pernah disarungkan oleh Maya Karin dalam filem pertama terdahulu.

Apa yang membuatkan Cik Bunga rasa mahu tergelak, ada antara komen yang diluahkan mereka, kononnya sisik ekor ikan duyung tersebut tidak kelihatan seperti ikan sebaliknya persis buah salak dan buah sawit.

Bagi mereka, sepatutnya ekor duyung untuk filem kali ini lebih berwarna-warni, ceria, sesuai dengan apa yang diperkatakan oleh pengarah filem, Prof. Datuk Dr. A. Razak Mohaideen semasa mengumumkan mengenai naskhah ini dalam sidang media yang diadakan sebelum ini.

Cik Bunga pun sebenarnya mengharapkan hal yang sama kerana kita pun peminat filem Duyung. Agak menghampakan andai benar hasilnya tidak menarik sebagaimana yang dicanang. Satu sebab utama, setelah 16 tahun, tentunya peminat filem ini tertunggu-tunggu kelainan dalam naskhah kali ini.

Jangan tidak tahu, ramai peminat filem ini dan rata-ratanya memang tidak sabar nak tonton filem ini di pawagam kelak. Jadi, produksi kena benar-benar pastikan sekuel kali ini memang gempak dan memukau. Sayang kalau tidak berikan komitmen sebaiknya sebab penonton setia sudah ada, cuma nak tunggu hasilnya sahaja.

Harapnya, jangan pula gunakan alasan bajet tak cukup maka hasil kostum pun secara sambil lewa dilakukan. Boleh naik hantu peminat-peminat filem ini nanti! Apa pun, sama-samalah kita nantikan hasil akhirnya nanti. Mana tahu sebenarnya gempak!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya