Pada awalnya, apabila Cik Bunga dengar ada kalangan orang industri seni bercakap mengenai Bella yang sering membawakan lagu berjudul Masing-Masing di mana-mana acara hiburan sejak kebelakangan ini, Cik Bunga jadi hairan juga.
Bukan apa, biarlah dia hendak bawakan lagu itu pun. Okey apa? Kenapa pula timbul ayat ‘sudah-sudahlah itu’.
Bagi Cik Bunga, dia bawakan lagu itu kebetulan kena pula dengan situasi dirinya sebagaimana yang semua orang sudah tahu.
Kiranya kalau Bella nyanyikan lagu itu, ia seakan mengalunkan luahan hatinya kepada semua dalam bentuk lagu. Iyalah, memang bukan lagu dia sendiri, kita tahu.
Tetapi, kalau peminat atau penganjur acara yang minta dia bawakan, tak akanlah dia hendak menolak iya tidak?
Sementara orang tengah suka lagu itu, apa salahnya nyanyikan? Orang yang mendengar pun rasa terhibur.
Kalau ada yang tidak suka pun, tidak mengapa. Rasanya, Bella pun faham. Lagipun, selepas ini mungkin dia akan lebih kerap membawakan single baharu berjudul Bermanja-Manja yang juga menyaksikan duetnya bersama adik kesayangan, Didi Astillah.
Cik Bunga belum khatam lagi lagu itu. Masih cuba membiasakan diri. Tetapi melodi lagu itu boleh tahan catchy juga. Harap-harap Bella dan Didi boleh pergi jauh dengan lagu itu.